Indeks USD Cecah 100 Mata Buat Pertama Kali Sejak Dua Tahun

Indeks USD mengukuh ke paras 100 mata buat pertama kali sejak dua tahun hari ini, disokong oleh prospek peningkatan kadar faedah Fed yang lebih agresif.

Greenback atau dolar AS melonjak, terutamanya berbanding euro yang sedang ditekan oleh kebimbangan para pelabur tentang kesan ekonomi akibat peperangan di Ukraine dan pilihan raya yang sukar di Perancis.

Setakat jam 6 petang, indeks USD yang mengukur kekuatan greenback berbanding enam mata wang utama yang lain kehilangan sedikit momentum untuk didagang sekitar 99.87 mata selepas naik ke paras 100 mata di awal sesi dagangan Eropah.

Indeks kini sedang menunju peningkatan 1.4 peratus pada minggu ini, didorong oleh ulasan hawkish para penggubal dasar Fed yang menggesa ‘rate hike’ yang lebih agresif bagi menangani lonjakan inflasi.

Minit mesyuarat Fed bulan Mac yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan kebanyakan ahli FOMC bersedia untuk menaikkan 50 mata asas kadar faedah dalam beberapa bulan mendatang.

Di sisi lain, euro pula jatuh berbanding dolar ke paras terendah bulanan, didagang sekitar 1.0848.

Laporan mesyuarat bank pusat Eropah yang diterbitkan pada Khamis lalu menunjukkan bahawa para pembuat dasar bersedia untuk bertindak menangani inflasi.

Bagaimanapun, nada Zon Eropah dilihat lebih cenderung dengan tindakan yang lebih berhati-hati berbanding bank pusat yang lain, sekali gus melemah euro.

Selain itu, pilihan raya Presiden di Perancis juga menimbulkan kebimbangan di kalangan pelabur terhadap arah tuju ekonomi kedua terbesar Zon Eropah itu.

“Pilihan raya presiden Perancis akan datang, dengan pusingan pertama pada hari Ahad, juga menambah kepada sentimen negatif EUR ketika ini,” kata penganalisis mata wang di MUFG dalam notanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *