24 Juta pelancong melawat Thailand setakat tahun ini

Aina Julia
2 Min Read

Thailand telah menerima lebih daripada 24 juta pelancong antarabangsa setakat tahun ini, dengan pelancong dari Malaysia mencatat jumlah tertinggi ketibaan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Natthriya Taweewong, berkata negara itu merekodkan 24,574,177 ketibaan pelancong antarabangsa antara 1 Januari hingga 5 Oktober tahun ini, menjana kira-kira 1.135 trilion baht (AS$34.9 bilion) hasil daripada perbelanjaan pelawat luar negara.

Beliau menjelaskan, lima pasaran utama pelancong asing ke Thailand ialah Malaysia (3.53 juta pelawat), diikuti oleh China (3.51 juta), India (1.81 juta), Rusia (1.29 juta) dan Korea Selatan (1.17 juta).

Kebanyakan pelawat dari Malaysia memasuki Thailand menggunakan pintu masuk darat di sempadan negara.

“Sepanjang minggu lalu, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa meningkat dengan ketara apabila negara memasuki musim pelancongan puncak, yang turut bertepatan dengan cuti panjang di beberapa negara seperti sambutan Hari Kebangsaan China, Perayaan Chuseok di Korea Selatan, dan Gandhi Jayanti di India,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Natthriya menjangkakan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa akan kekal stabil, disokong oleh beberapa faktor positif termasuk langkah pemudahan perjalanan oleh kerajaan Thailand serta pengecualian borang imigresen TM.6.

Beliau menambah bahawa musim pelancongan puncak yang sedang berlangsung (yang menarik pelancong dari pasaran jarak jauh) bersama usaha untuk meningkatkan kekerapan penerbangan antarabangsa, dijangka akan terus merangsang kedatangan pelancong.

Thailand menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 38 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini. Pada tahun 2024, negara itu menerima lebih 35.5 juta pelawat, dengan hasil pelancongan sebanyak 1.67 trilion baht.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *