$570 Bilion Mata Wang Kripto Lenyap Dalam Satu Hari, Ini Sebabnya!

$570 Bilion Mata Wang Kripto Lenyap Dalam Satu Hari, Ini Sebabnya!

Pada Jumaat lalu, permodalan pasaran mata wang kripto lenyap $570 bilion dalam satu hari, menyebabkan permodalan keseluruhan pasaran syiling spekulat

Pada Jumaat lalu, permodalan pasaran mata wang kripto lenyap $570 bilion dalam satu hari, menyebabkan permodalan keseluruhan pasaran syiling spekulatif itu jatuh daripada $3.7 trilion kepada $3.1 trilion.

Empat faktor utama dilihat telah mendorong kejatuhan tersebut dengan Bitcoin menyusut 16 peratus atau $21,400 untuk kembali didagang di bawah harga $50,000.

Faktor pertama adalah kemunculan khabar angin yang menyebutkan bahawa bank-bank pusat dunia akan memperkenalkan peraturan yang lebih ketat ke atas kripto.

Ketua pembayaran RBA, Tony Richards, berkata nilai pada kebanyakan mata wang kripto telah didorong oleh “trend dan ketakutan jika terlepas”.

Namun ianya akan terhapus apabila bank pusat memutuskan untuk mengetatkan kawalan ke atas sistem monetari mereka, tambahnya.

Selain spekulasi tersebut, ‘tapering’ Fed juga telah menakutkan pasaran terhadap aset-aset spekulatif.

Louis Navellier, pelabur terkenal dari AS menulis dalam notanya bahawa “Fed sedang ‘tapering’ dan hal ini akan mewujudkan pembetulan dalam aset berisiko yang mana Bitcoin adalah sebahagian daripadanya.”

“Semakin banyak nilai pengecilan, semakin tinggi volatiliti dalam saham, bon dan bitcoin,” ujarnya.

Punca ketiga yang mendorong kejatuhan adalah penularan varian baharu Covid, Omicron yang telah menimbulkan ketidaktentuan terhadap keberkesanan vaksin dan kesan sebenar ke atas ekonomi.

Faktor terakhir adalah pengambilan keuntungan menjelang akhir tahun serta dinamik pasaran bebas terhadap mata wang kripto.

“Hal ini mungkin menjelaskan mengapa terlalu banyak pengeluaran dalam pasaran bitcoin, kerana institusi-institusi ingin mengekalkan keuntungan tahunan menjelang akhir tahun,” jelas Sean Farrell, ketua strategi aset digital di Fundstrat.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian pelabur yang melihat keadaan ini hanya bersifat sementara dan akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut.

Presiden El Salvador, Nayib Bukele mengumumkan bahawa beliau akan “buy the dip” bagi menambah simpanan negaranya. El Salvador adalah negara pertama yang menjadikan bitcoin sebagai tender yang sah.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: