Jualan kenderaan penumpang di China mencatat kemerosotan 38 peratus pada Januari, berundur daripada peningkatan 2.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Hal ini didorong oleh permintaan yang semakin lemah akibat pemotongan cukai ke atas kenderaan berenjin serta tamatnya tempoh subsidi ke atas kenderaan elektrik (EV).
Jualan kereta tenaga baharu yang termasuk bateri EV tulen dan hibrid plug-in juga jatuh 6.3 peratus pada Januari selepas pertumbuhan yang memberangsakan pada 2022 sebanyak 90 peratus, kata Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA).
“Jualan kereta tenaga baharu pada bulan Januari tidak memenuhi jangkaan kami, dengan penurunan tahun ke tahun yang jarang berlaku dalam jualan sebulan,” kata Cui Dongshu, setiausaha agung CPCA dalam taklimat dalam talian hari ini
Beliau berkata, Tahun Baharu Cina dan penamatan subsidi EV adalah antara faktor yang membawa kepada penurunan itu.
Orang Cina bercuti selama seminggu penuh bagi merayakan Tahun Baharu Cina pada bulan tersebut, menjadikannya Januari lebih tenang berbanding tahun-tahun sebelumnya, jelas Dongshu.
Walaupun terdapat tanda berkurangnya permintaan dalam pasaran kereta terbesar dunia, kerajaan pusat China tetap tidak melanjutkan pemotongan cukai pembelian sebanyak 50 peratus ke atas kenderaan enjin pembakaran apabila ia tamat tempoh pada akhir Disember lalu.
Kerajaan China juga memutuskan untuk menamatkan subsidi nasional selama lebih sedekad untuk pembelian EV, memaksa pembuat kereta termasuk Tesla untuk memperbanyakkan diskaun bagi mempertahankan bahagian pasaran mereka.