car-battery-replacement

Pembuat EV Nio Akan Membina 1,000 Stesen Pertukaran Bateri Di China Pada 2023

Syarikat pemula kenderaan elektrik (EV) China, Nio Inc merancang untuk membina 1,000 stesen pertukaran bateri di China pada 2023 untuk menjadikan jumlah kemudahan tersebut mencapai 2,300 unit menjelang akhir tahun.

Pengasas dan Pengerusinya William Li berkata 400 stesen pertukaran itu akan dibina di sepanjang lebuh raya, manakala 600 lagi di kawasan bandar dengan memberi tumpuan kepada bandar dan daerah peringkat ketiga dan keempat di China.

Langkah itu menandakan peluasan rancangan syarikat pada Disember untuk menambah 400 stesen sedemikian tahun ini, kata Li dalam catatan di platform media sosial Nio.

Li mendapati lebih banyak stesen perlu dibina bagi meningkatkan pengalaman pengguna selepas lawatannya ke timur laut China dan bandar-bandar peringkat rendah di Zhejiang, tambahnya.

Pertukaran bateri membolehkan pemandu menggantikan pek yang habis dengan cepat dengan pek yang dicas penuh, dan bukannya mengecas kenderaan di titik-titik pengecasan.

Pertukaran itu dikatakan mampu membantu mengurangkan kekangan yang semakin meningkat yang terdapat pada grid kuasa berikutan peningkatan jutaan pemandu kenderaan elektrik.

Pakar bagaimanapun mengingatkan bahawa ia hanya dapat dilaksanakan dengan skala yang besar jika bateri menjadi standard di seluruh industri.

Nio adalah antara beberapa pembuat EV yang mempertaruhkan pertukaran bateri sebagai salah satu penyelesaian kuasa utama untuk kereta elektrik.

Saingan Tesla Inc sebelum ini telah menolak kaedah pertukaran bateri dengan menyebutkan ia “penuh dengan masalah dan tidak sesuai untuk kegunaan berskala luas”.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *