market-red

Penutupan Dua Bank Serantau AS Cetus Kebimbangan Penularan Dalam Sektor Kewangan

Pasaran saham di lautan merah pada hari ini susulan penutupan dua bank serantau AS mencetuskan kebimbangan penularan dalam sektor kewangan.

Keruntuhan Bank Silicon Valley pada hari Jumaat lalu, yang memfokus kepada pembiayaan modal sebahagian besarnya dalam sektor teknologi, berlaku selepas pengeluaran besar-besaran deposit sehingga menyebabkan bank ketiadaan modal dan tidak lagi mampu bangkit.

Kejatuhan itu adalah tindak balas kepada pengumuman tawaran saham dan penjualan sekuriti untuk mendapatkan wang tunai yang sangat diperlukan pada hari Rabu.

Saham SVB menjunam 60 peratus di New York pada Khamis dan dagangan digantung pagi Jumaat, sebelum pengawal selia berkata mereka telah menutupnya.

Masalah mulai timbul kerana kenaikan kadar faedah Fed selama setahun telah menyebabkan sekuriti yang dimiliki SVB dijual pada harga yang jauh lebih rendah.

Hal ini juga dijangka bakal menjadi masalah yang mungkin dihadapi oleh bank-bank yang lain.

Pada hari Ahad, pengawal selia New York turut mengumumkan penutupan pemberi pinjaman lain, Signature Bank.

Krisis yang sedang melanda negara ekonomi terbesar itu memaksa Fed, Jabatan Perbendaharaan dan Federal Deposit Insurance Corp berjanji untuk melindungi sepenuhnya semua pendeposit dan membantu mana-mana pemberi pinjaman yang bergelut untuk mencari wang tunai, memberikan syarat yang lebih mudah bagi pinjaman jangka pendek.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata pendeposit SVB akan mempunyai akses kepada “semua wang mereka” mulai Isnin, 13 Mac, dan pembayar cukai tidak perlu menanggungnya.

“Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi ekonomi AS dengan mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan kami,” kata agensi tersebut dalam kenyataan itu.

“Sistem perbankan AS kekal berdaya tahan dan pada asas yang kukuh,” sebahagian besarnya disebabkan oleh pembaharuan yang dilakukan selepas krisis kewangan yang memperkenalkan perlindungan baharu untuk industri perbankan.

Presiden Joe Biden berikrar untuk memastikan orang yang menjadi punca ke atas “kekacauan ini” bertanggungjawab.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *