BYD Co Ltd China, pembuat kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia, merancang untuk membina kilang katod litium bernilai AS$290 juta di wilayah Antofagasta utara Chile, kata agensi pembangunan ekonomi Chile CORFO.
Kerajaan negara Amerika Selatan itu telah menamakan BYD Chile sebagai pengeluar litium yang berkelayakan, kata CORFO.
Keputusan itu memberikan BYD yang juga merupakan pembekal bas elektrik dalam sistem pengangkutan awam Chile, akses kepada harga keutamaan untuk kuota litium karbonat.
Kilang itu dijangka akan menghasilkan 50,000 tan setahun litium besi fosfat (LFP) untuk katod, menggunakan litium karbonat sebagai input.
Ia dijadualkan mula beroperasi pada 2025 dan menjana 500 pekerjaan, kata CORFO dalam satu kenyataan lewat Rabu di Chile.
“Kami berharap dapat memberikan rangsangan yang kuat untuk mempromosikan penjanaan produk dalam rantaian nilai litium,” kata Naib Presiden Eksekutif CORFO Jose Miguel Benavente.
Pada hari Khamis, Presiden Gabriel Boric berjanji untuk memiliknegarakan industri litium di Chile, pengeluar kedua terbesar di dunia bagi logam penting dalam bateri EV, untuk meningkatkan ekonomi dan melindungi alam sekitarnya.