apple-logo-big

Apple Akan Belanjakan Berbilion Dolar Untuk Bangunkan Teknologi 5G Buatan AS

Apple semalam mengumumkan kerjasama berbilion dolar dengan firma teknologi AS Broadcom untuk membuat komponen “termaju” bagi penyambungan tanpa wayar ke rangkaian telekom 5G berkelajuan tinggi.

Gergasi pembuat iPhone itu tidak menyebutkan dengan tepat jumlah pelaburan yang dibuat dalam kerjasama tersebut, namun berkata ia adalah sebahagian daripada komitmen untuk melabur dalam ekonomi AS.

“Kami sangat teruja untuk memberi komitmen yang memanfaatkan kepintaran, kreativiti dan semangat inovatif pembuatan Amerika,” kata ketua eksekutif Apple Tim Cook dalam satu kenyataan.

“Semua produk Apple bergantung pada teknologi yang direka bentuk dan dibina di sini di Amerika Syarikat, dan kami akan terus memperdalam pelaburan kami dalam ekonomi AS kerana kami mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap masa depan Amerika,” tambahnya.

Menurut Apple, perjanjian itu akan termasuk mereka bentuk dan mengeluarkan komponen frekuensi radio yang canggih dan bahagian “sambungan tanpa wayar canggih” lain di Amerika Syarikat.

“Teknologi 5G membentuk masa depan elektronik pengguna generasi akan datang – dan Apple membelanjakan berpuluh bilion dolar untuk membangunkan bidang ini di Amerika Syarikat,” kata syarikat itu.

Apple telah bertindak pantas bagi memenuhi komitmen yang dibuatnya pada 2021 untuk melabur AS$430 bilion (RM1.96 trilion) dalam ekonomi AS dalam tempoh lima tahun.

Ia berkata pelaburan itu termasuk wang yang dimasukkan ke dalam pusat data, projek modal dan pembekal.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *