Bank pusat global mungkin sudah menghadapi persekitaran ekonomi baharu di mana inflasi dan kadar faedah tidak akan kembali kepada paras rendah seperti dahulu, kata Gabenor Bank Pusat Jepun (BOJ), Kazuo Ueda.
Walaupun faktor bekalan dikatakan menjadi sebab meningkatnya tekanan inflasi global semasa, permintaan seperti sokongan fiskal dan monetari besar-besaran yang digunakan semasa wabak juga berkemungkinan menjadi punca yang lain, kata Ueda.
Sesetengah ahli akademik berkata tekanan inflasi global lambat-laun akan reda, namun tetap memberi amaran bahawa tempoh semasa inflasi tinggi akan mengubah pandangan orang ramai terhadap harga.
Ueda juga berkata tahap hutang awam dan swasta yang tinggi terkumpul semasa pandemik, kadar faedah global mungkin tidak akan kembali ke “rendah (sebelum wabak) untuk jangka panjang”
“Mungkin sukar untuk menafikan bahawa kita telah berada dalam norma baharu yang berbeza daripada tempoh ‘rendah yang lama’,” jelasnya dalam ucapan pembukaan pada persidangan akademik tahunan yang dianjurkan oleh BOJ.
Kebanyakkan bank pusat, termasuk Federal Reserve, telah menaikkan kadar faedah secara agresif untuk menangani lonjakan inflasi yang mendadak.
BOJ pula mengekalkan kadar faedah pada paras sangat rendah kerana melihat lonjakan inflasi melebihi sasaran 2 peratus baru-baru ini hanya disebabkan oleh dorongan sementara.
Peserta pasaran, firma dan isi rumah semuanya membentuk jangkaan inflasi dengan cara yang berbeza.
Jangkaan mereka juga dipengaruhi oleh pengalaman masa lalu mereka, keadaan psikologi dan komunikasi bank pusat, tambah Ueda.
“Lebih-lebih lagi, tiada jaminan cara mereka dibentuk akan kekal stabil dari semasa ke semasa” ujarnya.