Syarikat penerbangan akan menerbangkan 4.35 bilion penumpang tahun ini, menghampiri rekod 2019 ketika industri bangkit daripada wabak Covid, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini.
Sektor itu juga akan kembali menghijau dengan keuntungan bersih diramal mencecah AS$9.8 bilion (RM44 bilion) pada 2023, atau dua kali ganda anggaran sebelumnya, dirangsang setelah berakhirnya sekatan Covid di China.
Persatuan itu menambah bahawa kerugiannya pada 2022 adalah separuh lebih teruk berbanding yang dianggarkan sebelum ini sebanyak AS$3.6 bilion.
“Prestasi kewangan syarikat penerbangan pada 2023 adalah mengatasi jangkaan,†kata ketua pengarah IATA Willie Walsh dalam satu kenyataan semasa mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Istanbul.
“Keuntungan yang lebih kukuh disokong oleh beberapa perkembangan positif. China menarik balik sekatan Covid-19 lebih awal daripada yang dijangkakan,†kata Walsh.
Walaupun harga bahan api kapal terbang kekal tinggi, ia telah kembali sederhana pada separuh pertama tahun ini, tambahnya.
Lonjakan inflasi di seluruh dunia berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 telah mengakibatkan peningkatan dalam kos tenaga ke paras tertinggi pada awal tahun lalu.
Namun begitu, setelah mencecah paras tersebut, harga minyak dan gas asli terus merosot dan kembali didagang di dalam julat yang kecil sejak awal tahun ini.
“Dari segi kos, terdapat sedikit kelegaan. Ketidaktentuan ekonomi tidak menjejaskan keinginan untuk melancong, walaupun harga tiket menampung kos bahan api yang tinggi” jelas Walsh.
Pandemik memusnahkan industri penerbangan sehingga mengalami kerugian AS$137 bilion apabila negara mengenakan sekatan dan menutup sempadan pada 2020.
Sektor itu kehilangan AS$42 bilion lagi pada 2021 dan masih berada pada tahap merah tahun lalu kerana China, pasaran utama, terus menguatkuasakan sekatan Covid yang akhirnya ditarik balik pada Disember.