OpenAI pada hari Selasa berkata mereka telah mencapai persetujuan untuk Sam Altman kembali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa hari selepas penyingkirannya, mengehadkan spekulasi ke atas masa hadapan syarikat pemula itu di tengah-tengah perkembangan kecerdasan buatan.
Sebagai tambahan kepada kepulangan Altman, OpenAI pada dasarnya bersetuju untuk menyusun semula sebahagian daripada lembaga pengarah yang telah memecatnya.
Bekas CEO bersama Salesforce Bret Taylor dan bekas setiausaha Perbendaharaan AS Larry Summers akan menyertai Ketua Pegawai Eksekutif Quora dan pengarah semasa Adam D’Angelo, kata OpenAI.
Sam Altman berkata dalam siaran di X “saya tidak sabar-sabar untuk kembali ke OpenAI.”
Kepulangannya menutup ketidaktentuan yang menyaksikan Altman sebelun ini bersetuju untuk berpindah ke Microsoft untuk mengetuai pasukan penyelidikan baharu di sana.
Keputusan itu adalah selepas penolakan lembaga pengarah OpenAI terhadap percubaan pertama Altman untuk kembali dengan menamakan bekas ketua Twitch Emmett Shear sebagai CEO sementara.
Dalam siaran di X, Shear meraikan keputusan baharu tersebut yang menurutnya mengikuti “~72 jam kerja yang sangat tegang.”
Pemecatan Altman telah membawa ketidakpastian untuk OpenAI dan Microsoft, ditambah dengan pengunduran Greg Brockman, presiden OpenAI.
Brockman, yang telah berhenti selepas Altman digulingkan, berkata dalam catatan di X bahawa dia “kembali ke pengekodan malam ini.”
Hampir semua lebih 700 kakitangan OpenAI pada hari Isnin telah mengancam untuk keluar melainkan lembaga itu berundur dan mengembalikan semula Altman dan Brockman, lapor Reuters.
Dalam satu kenyataan di X, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella mengalu-alukan perubahan pada lembaga OpenAI.
“Kami percaya ini adalah langkah penting pertama ke arah tadbir urus yang lebih stabil, bermaklumat dan berkesan,” katanya.