oil-libya

Harga Minyak Bakal Melabuhkan Tirai Tahun 2023 Sepuluh Peratus Lebih Rendah

Harga minyak dijangka melabuhkan tirai tahun 2023 pada kadar 10 peratus lebih rendah, penurunan tahunan pertama dalam tempoh dua tahun, didorong oleh kebimbangan geopolitik, pemotongan pengeluaran dan langkah global untuk mengekang inflasi mencetuskan volatiliti yang tinggi dalam harga.

Setakat jam 11.45 pagi, pada hari terakhir dagangan 2023, niaga hadapan minyak mentah Brent naik 26 sen kepada AS$77.41 setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS didagangkan 21 sen lebih tinggi kepada AS$71.98 setong.

Pada tahap ini, kedua-dua penanda aras berada di landasan untuk tutup pada paras akhir tahun terendah sejak 2020, paras ketika pandemik menjejaskan permintaan dan menyebabkan kejatuhan harga.

Minyak juga berada di landasan untuk jatuh selama tiga bulan berturut-turut susulan konflik Timur Tengah memicu kebimbangan terhadap risiko lebihan bekalan.

Selain itu, kejatuhan berterusan juga berlaku apabila pemotongan pengeluaran terbukti tidak mencukupi untuk menaikkan harga, dengan penanda aras menurun hampir 20 peratus daripada paras tertingginya tahun ini.

Pada September lalu, harga telah melonjak ke paras tertinggi selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sehingga mencetuskan kebimbangan bahawa permintaan berpotensi lebih tinggi daripada bekalan.

Namun begitu, dengan konflik di Timur Tengah dan gangguan perkapalan di laluan Laut Merah telah mengakibatkan kejatuhan yang berterusan.

Harga kini dilihat lebih stabil pada hari ini selepas merekodkan kejatuhan 3 peratus pada Khamis lalu selepas laporan-laporan akhbar mengatakan bahawa lebih banyak syarikat perkapalan kini bersedia untuk bergerak di laluan Laut Merah.

Langkah kerajaan dan bank pusat di seluruh dunia untuk menahan inflasi yang tinggi juga mengehadkan pergerakan dan segera mengimbangi sebarang lonjakan harga.

Bagaimanapun, jangkaan pemotongan kadar faedah di wilayah pengguna utama pada 2024 dan dolar yang lebih lemah dilihat meningkatkan permintaan minyak, kata pelabur dan penganalisis.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *