General Motors (GM) dan Hyundai Motor Co pada hari Khamis menyatakan bahawa mereka telah bersetuju untuk meneroka kerjasama masa depan dalam beberapa bidang strategik utama, termasuk pembangunan kenderaan bersama, isu rantaian bekalan, dan teknologi tenaga bersih.
Kedua-dua syarikat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang tidak mengikat untuk mempertimbangkan cara memanfaatkan kekuatan bersama untuk mengurangkan kos dan mempercepatkan pembangunan kenderaan serta teknologi kepada pelanggan.
Kolaborasi ini dianggap sebagai usaha untuk menghadapi cabaran besar dalam peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV), pembangunan bateri, dan teknologi kenderaan masa depan, seperti teknologi pemanduan autonomi.
Selain itu, projek-projek kolaborasi mungkin tertumpu kepada pembangunan bersama dan pengeluaran kenderaan penumpang serta komersial, enjin pembakaran dalaman, dan teknologi tenaga bersih seperti kenderaan elektrik dan hidrogen.
Syarikat tersebut juga menyatakan bahawa kerjasama ini akan melibatkan penilaian terhadap sumber bahan mentah seperti bateri dan keluli. GM dan Hyundai kini bersedia untuk mengkaji peluang-peluang ini dan bergerak ke arah perjanjian yang lebih mengikat.
Perjanjian ini dilihat sebagai usaha strategik untuk menandingi pesaing=pesaing besar seperti Tesla dan syarikat-syarikat China yang semakin menguasai pasaran EV.
Gabungan kekuatan antara kedua-dua pengeluar terbesar dunia ini dijangka akan meningkatkan daya saing dalam pasaran utama dan membawa kepada penawaran kenderaan yang lebih inovatif kepada pengguna dengan lebih pantas dan cekap.
Add a Comment