Mixue, berasal dari China, semakin terkenal dalam industri makanan dan minuman (F&B) dengan strategi inovatif yang menumpukan pada pengurangan kos.
Mereka berjaya mengurangkan kos bahan mentah sebanyak 20% melalui proses pengeluaran yang disentralisasi, membolehkan produk mereka dijual pada harga yang sangat kompetitif.
Disentralisasi merujuk kepada penyebaran proses atau operasi syarikat ke pelbagai lokasi berbeza. Dengan menggunakan pendekatan ini, syarikat dapat mengurangkan kos pengeluaran melalui akses kepada sumber yang lebih murah, seperti bahan mentah atau tenaga kerja, di kawasan berlainan.
Pendekatan ini tidak hanya memanfaatkan kos rendah, tetapi juga menjadi model pengembangan yang agresif kepada Mixue sehingga berjaya membuka banyak cawangan baharu untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran, termasuk di Malaysia.
Sebagai contoh, aiskrim mereka dijual pada harga antara RM2 hingga RM5, menjadikannya lebih mampu milik dan menarik perhatian pelanggan.
Menariknya, Mixue tidak bergantung kepada pemasaran tradisional seperti iklan atau penajaan selebriti, tetapi bergantung kepada harga rendah dan reputasi yang dibina secara organik.
Menurut laporan sebuah platform analisis perniagaan, The Low Down, Mixue kini menjadi salah satu daripada empat pemain terbesar dalam industri F&B, seiring dengan Subway dan Starbucks pada akhir 2023, dengan 36,000 cawangan di seluruh dunia.
Tambahan lagi, pada awal 2024, Mixue mengemukakan permohonan untuk disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, yang akan meningkatkan lagi pengaruh mereka dalam pasaran antarabangsa.
Add a Comment