Saham syarikat media Donald Trump, Trump Media & Technology Group, mengalami kejatuhan hampir 8% pada hari Jumaat lalu, menyusuli beberapa hari kerugian berterusan selepas tempoh sekatan jualan saham dalaman tamat.
Penurunan tersebut menambah kepada kejatuhan nilai saham yang bermula sejak beberapa hari sebelumnya. Pada penutupan pasaran, harga saham mencecah AS$13.55, iaitu harga terendah sejak debut pasaran sahamnya pada Mac.
Syarikat yang mengendalikan aplikasi Truth Social itu, telah menyaksikan penurunan nilai yang ketara sejak debutnya. Penurunan selama lima hari berturut-turut menyaksikan nilai pasarannya kini berada pada AS$2.7 bilion.
Menurut data LSEG, pedagang bertukar kira-kira AS$300 juta saham Trump Media semasa sesi itu, perolehan tertinggi untuk saham tersebut dalam tempoh seminggu
Ketika ini, hanya sepertiga daripada saham syarikat tersebut boleh didagangkan secara terbuka, menjadikan sebarang penjualan besar oleh pemegang saham dalaman berpotensi menyebabkan harga saham merosot lebih jauh.
Donald Trump sendiri memiliki kira-kira 57% saham syarikat ini, bernilai sekitar AS$1.5 bilion, dan beliau telah menyatakan bahawa beliau tidak bercadang untuk menjual sahamnya buat masa ini.
Namun, perhatian kini beralih kepada pemegang saham besar lain seperti United Atlantic Ventures dan Patrick Orlando, yang memiliki kira-kira 11% saham, dan mungkin akan mula menjual.
Sejak ia disenaraikan di pasaran saham, saham Trump Media telah kehilangan sebahagian besar nilainya, dengan pelabur runcit semakin berhati-hati selepas tamatnya tempoh sekatan jualan saham dalaman.
Add a Comment