Sebanyak 163 pekerja warga China diselamatkan dari keadaan kerja yang disifatkan seperti perhambaan di tapak pembinaan kilang kereta elektrik BYD di Camacari, Bahia, Brazil. Kilang ini bakal menjadi fasiliti terbesar BYD di luar Asia dengan kapasiti 150,000 kenderaan setahun.
Pihak Kementerian Awam Negeri Bahia (MPT) menggantung kerja-kerja pembinaan setelah pemeriksaan sejak November mendapati pelanggaran serius terhadap hak pekerja. Pekerja dilaporkan tinggal dalam keadaan tidak bermaruah, tidur di atas katil tanpa tilam, dan berkongsi satu bilik mandi untuk setiap 31 orang. Mereka juga terdedah kepada cuaca ekstrem di tempat kerja.
Siasatan turut mengesan unsur buruh paksa apabila pasport pekerja dirampas dan 60% gaji mereka ditahan, dengan baki dibayar dalam mata wang China.
Susulan pendedahan ini, BYD menamatkan kontrak dengan Jinjiang Construction Brazil Ltd, syarikat yang bertanggungjawab ke atas pembinaan. Syarikat itu juga memindahkan pekerja ke hotel berhampiran dan menegaskan komitmen mereka terhadap pematuhan undang-undang Brazil serta hak asasi manusia.
Pihak berkuasa telah mengatur pendengaran dalam talian untuk memastikan pelan tindakan bagi membetulkan pelanggaran ini. Kes ini menjadi peringatan kepada syarikat global tentang pentingnya tanggungjawab sosial dan pemantauan terhadap rantaian bekalan.
Add a Comment