Lambakan barang murah ke Malaysia selepas tarif AS

Rio Boestamam
2 Min Read

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memantau dengan teliti kemungkinan kemasukan barangan murah ke Malaysia susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan tarif import terhadap beberapa produk, termasuk perabot, farmaseutikal dan semikonduktor.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah AS mengenakan tarif yang lebih tinggi boleh mendorong negara pengeluar mengalihkan eksport mereka ke pasaran lain, termasuk Malaysia.

“Apabila pasaran AS menjadi kurang menarik akibat tarif yang tinggi, pengeluar dari negara terlibat mungkin mencari pasaran alternatif, termasuk rantau Asean dan Malaysia, bagi meneruskan aktiviti pengeluaran mereka dan mengelak lambakan stok.

“Peralihan perdagangan ini boleh menyebabkan kemasukan barangan berharga rendah ke pasaran Malaysia, sekali gus menekan harga pasaran dan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata sektor perabot, farmaseutikal dan semikonduktor dijangka antara yang paling terkesan kerana AS merupakan pasaran eksport utama bagi industri-industri ini.

Beliau menambah bahawa MITI memainkan peranan penting dalam melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil melalui pelaksanaan langkah-langkah perlindungan perdagangan seperti duti imbangan dan anti-lambakan.

Beliau menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (Bagan–PH) yang meminta penjelasan mengenai langkah perlindungan untuk industri semikonduktor, perabot dan sektor lain yang terkesan dengan tarif AS, serta risiko lambakan barangan dan kesannya terhadap nilai perdagangan serta kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Apabila tarif dinaikkan, pengeluar akan mencari pasaran lain untuk mengurangkan lebihan bekalan. Malaysia berpotensi menjadi antara destinasi pilihan tersebut,” jelasnya.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *