Bekas perdana menteri Paetongtarn Shinawatra dijangka meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai, dengan mesyuarat kepimpinan parti dijadualkan berlangsung pada Rabu (22 Oktober) pagi, menurut laporan.
Mesyuarat bersama ahli Parlimen parti akan diadakan di ibu pejabat Pheu Thai di Bangkok pada jam 8.30 pagi, diikuti sesi bersama barisan eksekutif parti pada jam 9.30 pagi. Agenda utama mesyuarat tersebut dipercayai ialah pengumuman rasmi peletakan jawatan Paetongtarn.

Menurut sumber parti, keputusan Paetongtarn untuk berundur berpunca daripada keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 29 Ogos lalu, yang mendapati beliau melanggar etika berhubung pendedahan panggilan telefon dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen. Ianya menjadi satu kontroversi yang akhirnya membawa kepada pemecatannya sebagai perdana menteri. Dalam panggilan itu, beliau dilihat mengkritik seorang pegawai tinggi tentera Thailand dan menunjukkan rasa hormat terhadap Hun Sen.
Sumber itu menambah bahawa keputusan mahkamah tersebut boleh meningkatkan risiko undang-undang terhadap Paetongtarn sekiranya beliau menamakan atau menyokong mana-mana calon ahli Parlimen pada masa akan datang. Oleh itu, peletakan jawatannya bertujuan mengelak sebarang komplikasi undang-undang yang boleh menjejaskan parti.
