Platform penghantaran makanan, Deliveroo tamatkan operasi di Singapura

Aina Julia
2 Min Read

Platform penghantaran makanan Deliveroo akan menamatkan operasinya di pasaran Singapura pada 4 Mac, menurut kenyataan yang dimuat naik di laman web syarikat itu pada 25 Februari.

Deliveroo memaklumkan semua pekerja di pejabatnya di Singapura akan terjejas akibat keputusan tersebut, namun syarikat itu tidak menyatakan jumlah sebenar kakitangan yang terlibat. Laporan Business Times pada penghujung 2022 sebelum ini menyebut Deliveroo mempunyai kira-kira 80 kakitangan di negara itu serta sekitar 10,000 penghantar aktif sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

Menurut jurucakap syarikat, keputusan tersebut disifatkan sebagai sukar dan dibuat selepas semakan terhadap keadaan operasi di setiap negara. Bagi pasaran Singapura, syarikat mendapati tahap pelaburan yang diperlukan tidak lagi selaras dengan strategi jangka panjangnya. Prestasi operasi sentiasa dinilai bagi memastikan pelaburan tertumpu kepada pasaran yang mempunyai potensi pertumbuhan mampan dan kepimpinan jangka panjang.

Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, DoorDash, yang memiliki Deliveroo serta satu lagi platform penghantaran, Wolt, turut mengumumkan bahawa ia akan keluar dari pasaran Qatar, Jepun dan Uzbekistan.

Deliveroo berkata pihaknya akan berhubung secara langsung dengan individu terjejas mengenai bentuk sokongan yang tersedia serta memastikan semua proses dilaksanakan mengikut peraturan tempatan dan dasar syarikat. Platform itu akan terus beroperasi sehingga 4 Mac. Pelanggan boleh menggunakan baki kad hadiah atau kredit yang masih ada sebelum jam 3 petang pada tarikh tersebut, manakala permohonan bayaran balik langganan boleh dibuat melalui pasukan khidmat pelanggan Deliveroo.

Penunggang penghantaran masih boleh menerima pesanan sehingga jam 3 petang pada hari terakhir operasi. Semua bayaran serta insentif tertunggak akan diproses seperti biasa, dengan pembayaran akhir dijadualkan pada 10 Mac. Ketua Pegawai Eksekutif Deliveroo, Miki Kuusi, yang juga mengetuai operasi antarabangsa DoorDash, berkata syarikat berbangga kerana selama 11 tahun telah membantu membentuk industri penghantaran makanan di Singapura dengan menyediakan akses kepada pelbagai restoran dan rakan niaga barangan runcit.

Kesatuan Singapore Manual and Mercantile Workers’ Union (SMMWU) dan National Delivery Champions Association (NDCA) dalam kenyataan bersama menyatakan kesediaan mereka membantu pekerja serta penghantar platform yang terjejas, walaupun Deliveroo bukan syarikat berkesatuan di Singapura.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *