ByteDance Bawa Cip AI Blackwell NVIDIA ke Malaysia Melalui Pelaburan RM9.8 bilion

Aina Julia
2 Min Read

Syarikat induk TikTok, ByteDance, sedang melaksanakan pelan besar untuk memperkukuh kedudukan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) global dengan mendapatkan 36,000 unit cip NVIDIA B200 Blackwell. Perolehan ini dilakukan melalui kerjasama dengan Aolani Cloud dan akan menempatkan infrastruktur pelayan tersebut di Malaysia bagi mengelak sekatan teknologi yang dikenakan terhadap China.

Proses perolehan ini melibatkan rantaian bekalan yang kompleks, di mana Aolani membeli pelayan daripada syarikat pemasang, Aivres. Keseluruhan urus niaga ini dianggarkan mencecah nilai AS$2.5 bilion (sekitar RM9.84 bilion), menunjukkan komitmen kewangan yang sangat tinggi daripada pihak ByteDance.

Kuasa pengkomputeran yang besar ini bakal digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI di peringkat antarabangsa. Selain itu, ia bertujuan untuk memenuhi permintaan perkhidmatan AI yang semakin meningkat daripada pelanggan ByteDance di seluruh dunia tanpa terikat dengan limitasi teknologi di China.

Unit pemprosesan grafik berkuasa tinggi NVIDIA, Blackwell.

Langkah ini dianggap sangat signifikan kerana Amerika Syarikat telah mengenakan kawalan ketat terhadap eksport cip AI tercanggih ke China atas faktor keselamatan nasional. Pada masa yang sama, kerajaan China juga cuba mendesak syarikat tempatan mengurangkan pergantungan kepada teknologi AS, namun prestasi cip tempatan masih belum mampu menandingi NVIDIA.

Bagi NVIDIA pula, sekatan perdagangan ini telah menyebabkan mereka kehilangan hampir 95% pasaran di China kepada pesaing tempatan. Walau bagaimanapun, penguasaan mereka dalam ruang inferens AI tetap tidak tergugat kerana jurang prestasi yang ketara antara produk mereka dengan pesaing lain.

Kehadiran infrastruktur AI ByteDance di Malaysia ini secara tidak langsung meletakkan negara kita sebagai hub penting dalam peta teknologi AI global. Ia membuktikan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan pusat data dan teknologi tinggi bagi syarikat-syarikat gergasi dunia.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *