Agenda Biden Berdepan Cabaran Baru Susulan Data Pekerjaan Yang Mengecewakan

Agenda Biden Berdepan Cabaran Baru Susulan Data Pekerjaan Yang Mengecewakan

Amerika Syarikat mencatat penambahan 266,000 pekerjaan pada April, jauh meleset berbanding jangkaan penambahan hampir 1 juta pekerjaan. Angka yang

Amerika Syarikat mencatat penambahan 266,000 pekerjaan pada April, jauh meleset berbanding jangkaan penambahan hampir 1 juta pekerjaan.

Angka yang mengecewakan itu muncul ketika Presiden Joe Biden sedang meningkatkan usaha untuk menghidupkan kembali ekonomi yang dilanda wabak Covid-19.

Selain itu, pengambilan pekerjaan yang lemah itu turut mendorong peningkatan kecil kadar pengangguran kepada 6.1 peratus di samping menafikan optimis ahli ekonomi bahawa pengedaran vaksin Covid-19 yang meluas serta bantuan fiskal dari kerajaan akan membolehkan aktiviti perniagaan kembali normal dan penambah satu juta pekerjaan pada bulan lalu.

Biden walau bagaimanapun menjelaskan ‘kemunduran’ dalam sektor buruh sepanjang proses pemulihan bukanlah sesuatu yang ganjil.

“Kami tahu kami sedang menghadapi krisis ekonomi sekali dalam seabad dan sekali dalam satu generasi. Kami tahu ini tidak akan memecut laju, ia akan menjadi seperti maraton,” ulas Biden susulan terbitan data di atas.

Kenyataan Biden ini dilihat cuba meredakan kritikan terhadap program perbelanjaan besar-besaran beliau yang dilihat tidak diperlukan berikutan ekonomi telahpun memulih.

Selain itu, Biden juga meminta supaya Kongres meluluskan dua RUU perbelanjaan beliau bernilai lebih AS$4 trillion yang bertujuan memperbaiki infrastruktur negara dan tenaga kerja.

“Kita tidak boleh membiarkannya. Laporan pekerjaan ini jelas menunjukkan kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan”, kata Biden.

Walaupun sebahagian penganalisis melihat pemulihan sektor pekerjaan akan berlaku beberapa bulan ke hadapan, namun data pada April tersebut tetap merumitkan jangkaan mereka.

“Jangkaan yang jauh dari sasaran ini telah mengubah cara kita berfikir tentang pemulihan,” kata profesor ekonomi Universiti Michigan, Justin Wolfers di Twitternya.

Saham Wall Street, Dow dan S&P 500 pada minggu lalu tutup di tahap tertinggi dengan para pelabur melihat kelemahan data pekerjaan AS itu sebagai satu peluang untuk rancangan perbelanjaan Biden diluluskan dan untuk Fed mengekalkan kadar faedah yang rendah bagi tempoh masa lebih lama.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: