lizz-truss-pm-uk

Ancam Kestabilan Ekonomi, PM Truss Mohon Maaf, Umum Pemotongan Perbelanjaan Awam

PM Britian Liz Truss telah meminta maaf kerana mengancam kestabilan ekonomi Britain selepas dia terpaksa membatalkan rancangan pemotongan cukainya yang besar dan sebaliknya memulakan program pemotongan perbelanjaan awam.

Truss memerhati secara senyap di parlimen semalam ketika menteri kewangan baharunya Jeremy Hunt merobek agenda ekonomi radikal yang dicadangkan oleh beliau kurang sebulan yang lalu.

Rancangan radikal itu telah mencetuskan kegawatan dalam pasaran bon yang begitu mendalam sehingga Bank Pusat England (BOE) terpaksa campur tangan bagi menghalang dana pencen daripada terjejas.

The Financial Times melaporkan pada hari ini bahawa BOE kini berkemungkinan akan menangguhkan penjualan bon kerajaan bernilai berbilion pound yang dirancang berikutan pasaran masih terlalu tidak menentu.

Keputusan Truss untuk menarik program ekonominya setakat ini telah mengurangkan beberapa tekanan terhadap peningkatan kos pinjaman Britain.

Namun begitu, skala perubahan itu bermakna beliau kini perlu berjuang untuk mengekalkan jawatan perdana menteri yang baru disandang selama enam minggu.

Segelintir penggubal undang-undangnya telah pun mendedahkan kepada umum mendesak supaya Truss meletakkan jawatannya.

“Saya mahu menerima tanggungjawab dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan,” kata Truss kepada BBC semalam.

“Saya mahu bertindak untuk membantu orang ramai dengan bil tenaga mereka, untuk menangani isu cukai yang tinggi, tetapi kami pergi terlalu jauh dan terlalu pantas,” tambah beliau.

The Daily Mail, yang sebelum ini memuji rancangan Truss, menyiarkan muka depan akhbar dengan perdana menteri meninggalkan parlimen semalam di bawah tajuk “Dalam pejabat, namun tidak berkuasa”.

James Heappey, seorang menteri untuk angkatan bersenjata, berkata kepada Sky News hari ini bahawa Truss, ketuanya, tidak mampu melakukan sebarang kesilapan lagi.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *