apple2

Apple Lancar Perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ Di AS

Apple Inc semalam melancarkan perkhidmatan “beli sekarang, bayar kemudian” (BNPL) di Amerika Syarikat, satu langkah yang mengancam untuk mengganggu sektor fintech yang dikuasai oleh firma seperti Affirm Holdings dan syarikat pembayaran Sweden Klarna.

Perkhidmatan yang dikenali dengan Apple Pay Later itu akan membolehkan pengguna membahagikan pembelian kepada empat pembayaran dalam tempoh enam minggu tanpa faedah atau yuran.

Ia pada mulanya akan ditawarkan kepada pengguna-pengguna terpilih dan akan dilancarkan dalam skala penuh beberapa bulan akan datang.

Menurut Apple, pengguna boleh mendapatkan pinjaman antara AS$50 (RM220.50) dan AS$1,000 untuk pembelian dalam talian dan dalam apl yang dibuat pada iPhone serta iPad dengan penjual yang menerima Apple Pay.

Sehingga hari ini lebih daripada 85 peratus peruncit di Amerika Syarikat menerima Apple Pay, kata Apple Inc.

“Apple Pay Later benar-benar akan mengalahkan beberapa pemain lain. Syarikat-syarikat lain akan meneliti pengumuman Apple kerana jenama yang dibawanya. Ini akan mengurangkan bahagian pasaran pemain lain,” kata Danni Hewson, ketua analisis kewangan di AJ Bell.

Pada tahun 2020, sekatan yang berkaitan dengan pandemik telah mengalihkan pengguna kepada pembelian menggunakan platform pembayaran dalam talian.

Senario itu meningkatkan permintaan bagi syarikat-syarikat fintech yang menawarkan perkhidmatan BNPL, terutamanya kepada pelanggan milenium dan Gen Z.

Raksasa pembayaran digital termasuk PayPal dan Block Inc telah berkembang ke dalam sektor ini melalui pengambilalihan, manakala Affirm pula dibuka kepada awam dalam penyenaraian berbilion dolar.

“Kami menjangkakan Apple akan bertindak berhati-hati, terutamanya dalam persekitaran makro ini,” kata Christopher Brendler, penganalisis di DA Davidson, merujuk kepada keputusannya untuk tidak menggunakan rakan kongsi dan menaja jamin, membiayai dan mengutip pinjaman secara langsung.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *