yellen-biden2

AS Tidak Mungkin Alami Kemelesetan Walaupun Inflasi Melambung Tinggi- Yellen

Amerika Syarikat tidak mungkin mengalami kemelesetan ekonomi, walaupun inflasi melambung tinggi, ujar Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen dalam satu kenyataan.

“Tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa ekonomi di ambang kemelesetan,” katanya dalam temu bual di forum ekonomi The New York Times.

Pemulihan ekonomi AS daripada kerosakan Covid-19 adalah kukuh, namun rekod inflasi yang tertinggi dalam empat dekad dan terjejasnya rantaian bekalan yang telah diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine semakin menyuramkan keyakinan.

Jabatan Buruh AS akan mengularkan laporan indeks harga pengguna (CPI) Mei hari ini, dan penganalisis menjangkakan data itu berpotensi menunjukkan sedang berlakunya kelembapan yang sederhana.

Fed telah mula menaikkan kadar faedah secara agresif, dengan satu lagi kenaikan besar dijangka pada minggu hadapan.

Keputusan itu dilakukan oleh para penggubal dasar dalam usaha memerangi tekanan inflasi tanpa mencetuskan kemelesetan.

Yellen menyatakan dengan yakin bahawa mereka akan berjaya. “Saya percaya adanya jalan untuk (isu) ini, yang melibatkan satu peralihan yang lancar,” katanya.

Bagaimanapun, kepantasan langkah yang dirancang oleh Fed telah meningkatkan lagi kebimbangan terhadap isu kemelesetan, yang pada amnya ditakrifkan sebagai pertumbuhan negatif bagi dua suku berturut-turut.

Menjawab persoalan adakah terdapat risiko kemelesetan, Yellen berkata ada, “Tetapi adakah ia berkemungkinan berlaku? Saya rasa tidak begitu.”

Pengerusi Fed Jerome Powell dan Presiden Joe Biden kini juga turut bersama berusaha meredakan kebimbangan terhadap isu kemelesetan, dengan Powell berkata ekonomi AS cukup kukuh untuk mengharungi kadar faedah yang lebih tinggi.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *