yuan-dollar-e1540896279798

Bank-bank China Gunakan Rusia Untuk Galakkan Penggunaan Yuan Rentas Sempadan

Bank-bank China sedang menggandakan usaha untuk menggalakkan penggunaan yuan antarabangsa, dan melaporkan lonjakan dalam perniagaan yuan rentas sempadan daripada perdagangan pesat negara itu dengan Rusia dan mengeratkan hubungan dengan Timur Tengah.

Harbin Bank Co, di wilayah Heilongjiang China yang berada bersebelahan dengan Rusia, menyaksikan perniagaan yuan rentas sempadannya berkembang sembilan kali ganda pada tahun lalu.

China Construction Bank dan Agricultural Bank of China (AgBank) pula melaporkan jumlah aset di anak syarikat Moscow mereka masing-masing melonjak 3.3 kali dan 1.4 kali ganda pada 2022 ketika Rusia berdepan sekatan besar-besaran dari Barat.

Memang diakui pertumbuhan itu datang dari asas yang rendah, namun langkah kecil dalam penerimaan yuan ini muncul selepas rentetan perjanjian dua hala oleh China dengan rakan perdagangannya, seperti pembelian minyak dari Teluk serta perdagangan lain dengan Brazil dan Rusia.

Menurut SWIFT (sistem pembayaran global yang dikawal oleh Barat), bahagian yuan dalam pembayaran global hanyalah 2.5 peratus, sangat kecil berbanding dengan 39.4 peratus dolar AS dan 35.8 peratus euro.

Bagaimanapun, analisis Reuters menerusi pemfailan terbaharu bank menunjukkan bagaimana Rusia yang dikeluarkan daripada sistem dolar akibat perang di Ukraine menghidupkan semula usaha China untuk melanjutkan saluran bagi sistem mata wang alternatif.

“China harus bersedia untuk senario terburuk dikecualikan daripada SWIFT, dan secara aktif mempromosikan penggunaan yuan rentas sempadan,” tulis Wang Jiehua dan Qiao Liqun, eksekutif di Harbin Bank.

China harus menggunakan peluang yang muncul daripada sekatan barat terhadap Moscow untuk meluaskan perdagangan dengan Rusia, dan menjadikan Heilongjiang sebagai pusat pengantarabangsaan yuan, tulis mereka.

Bank of Inner Mongolia yang juga negara jiran Rusia telah terlibat secara aktif dalam penyelesaian yuan bagi memudahkan perdagangan dua hala dengan Rusia, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada Mac.

Malah bank China yang terlibat dengan perniagaan Rusia pada kadar yang sederhana, seperti Bank of Jiujiang dan Postal Savings Bank of China, berkata penyelesaian yuan rentas sempadan mereka meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila kerajaan mendorong penggunaan global mata wang yuan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *