fed-note

Bank Pusat Dalam Dilema Dengan Kesan Positif, Negatif ‘Rate Hike’ Yang Agresif

Bank-bank pusat di seluruh dunia kini sedang menggunakan pendekatan yang agresif dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi sehingga berisiko memudaratkan ekonomi.

Federal Reserve dan bank pusat Eropah (ECB) serta kebanyakan ekonomi maju yang lain telah menaikkan kadar faedah pada tahun ini berikutan harga pengguna yang melambung tinggi.

Walaupun peningkatan yang bertujuan untuk meredakan inflasi dapat memperlahankan aktiviti ekonomi, namun ia tetap berisiko menyebabkan kemelesetan jika kos pinjaman menjadi terlalu tinggi kepada perniagaan dan individu.

Kebanyakan penggubal dasar bank pusat melihat permintaan merupakan salah satu faktor utama mendorong lonjakan harga, namun sebahagian ahli ekonomi menafikan dakwaan tersebut.

“Bank-bank pusat di seluruh dunia berpura-pura atau bertindak seolah-olah permintaan yang mencetuskan inflasi,” kata ahli ekonomi pemenang Nobel, Joseph Stiglitz.

Beliau menyebutkan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi tidak akan menghasilkan lebih banyak tenaga mahupun makanan atau membantu mengurangkan krisis rantaian bekalan global.

“Menggunakan resipi untuk diagnosis yang salah adalah mendapat preskripsi yang salah,” jelasnya sambil berkata kadar yang lebih tinggi akan meningkatkan kos dalam pelaburan yang diperlukan untuk memecah kebuntuan ini.

Fed akan mengumumkan keputusan dasar monetari terbaharunya pada jam dua pagi hari Khamis waktu Malaysia.

Pasaran bimbang, dengan bacaan inflasi yang lebih buruk serta kenaikan kadar terbesar, 0.75 peratus pada Jun dan Julai, Fed berpotensi mengumumkan kadar ‘rate hike’ yang sama pada pertemuan kali ini.

Sementara itu, bank pusat England, Sweden, Switzerland dan Afrika Selatan juga dijangka akan terus mengetakan dasar monetari mereka pada mesyuarat dasar minggu ini.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *