bmw-charging

BMW Akan Melabur AS$1.7b Dalam Pengeluaran Kenderaan Elektrik Di AS

Pengeluar kereta Jerman BMW hari ini berkata ia akan melabur AS$1.7 bilion dalam pengeluaran kenderaan elektrik di Amerika Syarikat.

Pelan itu termasuk AS$1 bilion untuk mengembangkan kilang pembuatan Spartanburg AS dan AS$700 juta untuk kemudahan pemasangan bateri baharu, kata BMW dalam satu kenyataan.

“Kumpulan BMW akan meneruskan pelancaran pelan mobiliti elektronya dengan pelaburan baharu di AS,” kata syarikat itu.

Kilang Spartanburg di Carolina Selatan sudah pun menjadi kilang terbesar BMW, mengeluarkan 1,500 kenderaan BMW X sehari.

Kemudahan pemasangan bateri voltan tinggi baharu itu akan ditempatkan di Woodruff, Carolina Selatan, kata BMW.

Kumpulan dari Jerman itu juga telah menandatangani perjanjian dengan pengeluar bateri China Envision AESC, yang akan “membina kilang sel bateri baharu di Carolina Selatan” dengan kapasiti tahunan sehingga 30 GWj.

Syarikat itu merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya enam model BMW X elektrik sepenuhnya di kilang Spartanburg menjelang 2030.

Matlamatnya adalah untuk kilang tersebut menjadi “pemacu utama bagi strategi elektrifikasi kami”, kata Oliver Zipse, pengerusi lembaga pengurusan BMW.

Langkah itu adalah sebahagian daripada peralihan ke arah elektrifikasi di BMW dan dalam industri kereta Jerman secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, pelaburan baharu itu dibuat di tengah-tengah ketegangan mengenai mercu tanda “Akta Pengurangan Inflasi” Presiden Joe Biden, yang memasukkan pelepasan cukai bagi kereta elektrik dan bateri buatan AS.

Pegawai Kesatuan Eropah berkata dasar itu tidak adil kerana akan melemahkan persaingan bagi pembuatan kenderaan elektrik di tempat yang lain.

AS juga merupakan pangkalan pengeluaran berpotensi menarik bagi para pengeluar Jerman yang kini bergelut dengan kos tenaga yang melambung tinggi akibat daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *