bank-pusat-england

BOE: Kejatuhan FTX Menunjukkan Kepentingan Untuk Mengawal Selia Dunia Kripto

Ledakan pertukaran mata wang kripto FTX menunjukkan keperluan untuk mewujudkan kawalan selia dalam dunia kripto, kata Timbalan Gabenor Bank of England (BoE) Jon Cunliffe hari ini.

FTX, yang telah memfailkan perlindungan kebankrapan menerusi mahkamah AS, berkata hutang yang ditanggung mereka daripada 50 pemiutang utamanya mencecah hampir AS$3.1 bilion.

Cunliffe berkata walaupun kejatuhan FTX minggu lalu tidak cukup besar sehingga menggugat kestabilan sistem kewangan arus perdana, namun hubungannya semakin berkembang pesat.

Beliau menambah bahawa masalah FTX menunjukkan keperluan untuk pengawal selia mengetatkan kawalan secepat mungkin.

Walaupun syarikat itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Britain, namun gelombang kejatuhannya turut memberi kesan.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga ia membesar dan bersambung untuk membuat rangka kerja pengawalseliaan yang diperlukan bagi mengelakkan kejutan pasaran kripto sehingga memberi kesan ketidakstabilan yang lebih besar,” kata Cunliffe dalam acara Warwick Business School.

Pada masa ini, syarikat kripto di Britain hanya perlu menunjukkan bahawa mereka boleh meletakkan kawalan yang mencukupi untuk menghentikan pengubahan wang haram, walaupun banyak syarikat telah menolak permohonan lesen oleh Pihak Berkuasa Mengendalikan Kewangan (FCA) UK.

Britain sedang meluluskan undang-undang perkhidmatan kewangan dan pasaran baharu yang akan memperkenalkan peraturan bagi stablecoin, aset kripto yang disokong oleh aset seperti mata wang dan pemasaran aset kripto secara amnya.

Cunliffe berkata bahawa BoE akan menetapkan perundingan awam untuk menyempurnakan peraturan bagi stablecoin dengan lebih terperinci dan bagaimana tuntutan pemegang token ke atas pengeluaran.

Kementerian kewangan Britian juga akan berunding tidak lama lagi untuk melanjutkan perlindungan pelabur, integriti pasaran dan rangka kerja kawal selia lain yang meliputi promosi dan perdagangan produk kewangan kepada aktiviti dan entiti yang melibatkan aset kripto, tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *