Celcom, Digi Bakal Bergabung Menjadi Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Terbesar Di Malaysia

Celcom, Digi Bakal Bergabung Menjadi Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Terbesar Di Malaysia

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd berkata Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan permintaan u

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd berkata Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan permintaan untuk menggantungkan dagangan saham mereka di Pasaran Utama hari ini, sementara menanti satu pengumuman.

Kedua-dua syarikat itu berkata permintaan tersebut dibuat di bawah subperenggan 3.1(b)(i) Nota Amalan No 2 Permintaan bagi Penggantungan untuk Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Saham Axiata Group ditutup pada RM3.80 semalam manakala Digi pula berada sekitar RM3.75 sesaham.

Memetik sumber daripada The Edge Markets, Celcom Axiata Bhd, salah satu unit di bawah Axiata Group Bhd akan menggabungkan operasi mereka bersama Digi.com Bhd.

Langkah tersebut berpotensi mewujudkan penyedia perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia, kata akhbar tersebut.

Gabungan ini dikatakan berbeza dengan rancangan yang diumum pada tahun 2019 yang lalu, di mana melibatkan penyatuan operasi syarikat induk di Asia antara Axiata dengan pemilik Digi, Telenor ASA dari Norway.

Astro Awani juga melaporkan bahawa Celcom dan Digi kini berada di fasa terakhir rundingan bagi menggabungkan kedua-dua syarikat itu sebagai satu entiti, Celcom Digi Berhad.

Axiata Group Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa mereka akan memegang 51 peratus saham dalam syarikat baharu itu.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: