jpmorgan-dimon

CEO JPMorgan Memperingatkan Untuk Bersiap Sedia Dengan ‘Taufan’ Ekonomi AS

Jamie Dimon, Pengerusi dan CEO JPMorgan Chase & Co menyifatkan cabaran yang dihadapi ekonomi AS seperti “taufan” dan menggesa Fed mengambil langkah yang tegas untuk mengelak daripada membawa ekonomi terbesar dunia itu ke dalam kemelesetan.

Kenyataan Dimon ini muncul sehari selepas Presiden Joe Biden bertemu dengan Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell untuk membincangkan mengenai inflasi, yang berlegar pada paras tertinggi 40 tahun.

“Ia adalah taufan,” kata Dimon pada persidangan perbankan, sambil menambah bahawa keadaan semasa adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sekarang, kelihatan agak cerah, keadaan berjalan lancar. Semua orang fikir Fed boleh menangani perkara ini. Taufan itu sememangnya ada di luar sana dan sedang menghampiri kita. Kami tidak tahu sama ada ia kecil atau sebesar taufan Sandy,” tambahnya.

Fed kini berada di bawah tekanan untuk bertindak lebih tegas mengurangkan kadar inflasi yang melebihi tiga kali ganda sasaran 2 peratus mereka sehingga menyebabkan lonjakan kos sara hidup rakyat Amerika.

Bank pusat juga menghadapi tugas yang sukar dalam mengurangkan permintaan dan memastikan ia cukup untuk membendung inflasi tanpa menyebabkan kemelesetan.

“Fed perlu memenuhinya sekarang dengan menaikkan kadar dan mengetatkan dasar. Pada pandangan saya, mereka perlu melakukannya. Mereka tidak punyai pilihan kerana sistem kini dibanjiri dengan kecairan,” jelas Dimon.

Bank-bank pusat utama, yang telah merancang kenaikan kadar faedah dalam usaha menentang inflasi, juga sedang mempersiapkan penarikan balik rangsangan daripada pasaran kewangan.

Pengetatan kuantitatif global pusingan pertama ini dijangka akan menyekat kredit dan menambah tekanan kepada ekonomi dunia yang sudah perlahan.

“Kamu perlu mempersiapkan diri. JPMorgan juga sedang bersiap sedia dan kami akan menjadi sangat konservatif dalam penyata imbangan kami,” tambah Dimon.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *