Tindakan Beijing untuk menghalang firma AS Micron Technology Inc daripada menjual cip memori kepada industri domestik utama telah meningkatkan ketegangan dalam pertikaian perdagangan yang berterusan dengan Washington.
Pengawal selia ruang siber China berkata bahawa Micron telah gagal dalam penilaian keselamatan rangkaiannya dan ia akan menyekat pengendali infrastruktur utama daripada membeli barangan syarikat itu.
“Semakan mendapati bahawa produk Micron mempunyai risiko keselamatan rangkaian yang serius, yang bakal menimbulkan risiko keselamatan yang ketara terhadap rantaian bekalan infrastruktur maklumat kritikal China, yang akan menjejaskan keselamatan negara China,” kata Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) dalam satu kenyataan.
Keputusan China itu mendapat tentangan daripada Washington namun membantu meningkatkan saham pesaing Micron di dalam dan luar negara tembok besar itu.
“Kami tegas menentang sekatan yang tidak mempunyai asas sebenarnya,” kata jurucakap Jabatan Perdagangan AS dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Tindakan ini, termasuk serbuan baru-baru ini yang menyasarkan firma Amerika lain, tidak konsisten dengan dakwaan bahawa ia (China) membuka pasarannya dan komited kepada rangka kerja pengawalseliaan yang telus,” tambahnya.
Ketegangan antara Washington dan Beijing telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan serbuan dan lawatan pihak berkuasa China yang dibuat ke atas firma usaha wajar korporat AS Mintz Group dan perunding pengurusan Bain.
Micron berkata pada hari Ahad ia telah menerima semakan pengawal selia dan berharap “untuk terus terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkuasa China”.