Data Penting Bagi GBP Hari Ini

Data Penting Bagi GBP Hari Ini

Majoriti penganalisa ekonomi menjangkakan Bank of England (BOE) akan menaikkan kadar faedah mereka pada 10 Mei nanti sebanyak 25 mata asas kepada 0.75

Majoriti penganalisa ekonomi menjangkakan Bank of England (BOE) akan menaikkan kadar faedah mereka pada 10 Mei nanti sebanyak 25 mata asas kepada 0.75%. Lebih daripada 60% pula menjangkakan BOE akan menaikkan kadar faedah kepada 1% atau lebih menjelang suku pertama tahun hadapan.

Kekuatan GBP lebih banyak dipacu oleh sentimen kenaikan kadar faedah oleh BOE, kelemahan Dolar AS dan aliran bermusim yang kebiasaannya dilihat pada bulan April. Pound menjadi matawang paling cemerlang tahun ini walaupun seringkali dihimpit dengan ketidaktentuan Brexit.

Pengunduran Pound setelah data penggajian yang lemah semalam menunjukkan matawang UK ini sangat rapuh dan sensitif terhadap data-data ekonomi yang tidak menepati jangkaan. Hari ini, data Indeks Harga Pengguna (CPI) akan diterbitkan. Data ini begitu penting bagi GBP apabila BOE sudah pastinya akan menjadikan ia sebagai asas kepada keputusan mereka terhadap kadar faedah pada bulan Mei nanti.

Jika data hari ini menepati jangkaan atau lebih baik, GBP akan kembali meneruskan kenaikannya namun jika sebaliknya, pandangan terhadap kenaikan kadar faedah mungkin akan punah dan Pound mungkin akan dijual dengan teruk. Konsensus menjangkakan 2.7% untuk data CPI dan 2.5% bagi CPI Teras (tidak termasuk makanan dan tenaga).

Sentimen Brexit pada masa yang sama masih lagi menghantui UK dan Pound pada ketika ini. Perdana Menteri UK, Theresa May bakal menghadapi satu lagi ancaman apabila bil pindaan beliau akan kembali ke dalam Parlimen. May telah menolak permintaan perniagaan supaya Britain kekal di dalam kesatuan kastam dengan alasan ianya akan mengekang kerajaan untuk berunding tentang perjanjian perdagangan dengan negara-negara lain.

 

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: