dollar-note-1

Dolar AS Di Paras Tertinggi Lima Minggu Menjelang Simposium Jackson Hole

Indeks dolar AS mencecah paras tertinggi baru lima minggu pada hari Isnin selepas seorang lagi anggota lembaga Fed menyatakan kemungkinan pengetatan monetari yang agresif akan diteruskan menjelang simposium Jackson Hole bank pusat minggu ini.

Setakat jam 1.45 petang, indeks didagang stabil sekitar 108.15 mata selepas mencatat peningkatan 2.33 peratus pada minggu lalu.

Dolar merekodkan peningkatan mingguan terbaik sejak April 2020 apabila semakin ramai penggubal dasar Fed menekankan keperluan untuk bank pusat terus bertindak bagi mengekang inflasi yang terlalu tinggi.

Pada Jumaat yang lalu, Presiden Fed Richmond Thomas Barkin berkata “desakan” di kalangan bank pusat adalah ke arah kenaikan kadar yang lebih pantas dan penuh.

“Anggota Fed telah menekankan mesej bahawa lebih banyak kenaikan kadar akan berlaku memandangkan usaha menentang inflasi masih belum berjaya,” tulis Rodrigo Catril, pakar strategi FX di National Australia Bank dalam nota kepada pelanggan.

Mesej itu dilihat telah menarik perhatian pelabur menjelang persidangan Jackson Hole minggu ini berikutan ia semakin menguatkan jangkaan untuk Pengerusi Fed Jerome Powell menekankan bahawa pengetatan dasar masih jauh dari penghujungnya, tambah Catril.

Selain itu, kejatuhan mata wang euro juga menjadi pendorong utama kepada kebangkitan indeks dolar selepas Rusia mengumumkan akan menghentikan bekalan gas Eropah melalui saluran paip Nord Stream 1 selama tiga hari pada akhir bulan ini.

Pasaran ketika ini menunjukkan kemungkinan 47.5 peratus untuk Fed menaikkan kadar 75 mata asas pada 21 September, dengan peluang 52.5 peratus untuk kenaikan 50 mata asas.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *