dollar-10

Dolar AS Kukuh, Lepasi Paras Tertinggi 20 Tahun Lalu Menjelang Mesyuarat FOMC

Kenaikan harga dolar tidak mungkin akan jatuh dalam masa terdekat menjelang keputusan mesyuarat dua hari FOMC yang dijangka akan disusuli dengan kenaikan kadar faedah.

Kenyataan-kenyataan hawkish di kalangan penggubal dasar turut membuatkan para pelabur kembali mempertimbangkan unjuran mereka terhadap sejauh mana kadar faedah mampu dinaikkan.

Setakat jam 8.40 malam, indeks USD yang mengukur kekuatan greenback berbanding enam mata wang utama lain naik 0.23%, melepasi paras tertinggi sejak dua tahun lalu untuk didagang sekitar 110.00 mata.

Fed akan memulakan mesyuarat dasar dua harinya lewat sesi dagangan AS hari ini dengan jangkaan bahawa bank pusat akan meneruskan kenaikan kadar faedah bersaiz besar bagi menangani tekanan inflasi.

Pasaran menjangkakan kenaikan 0.75 peratus, namun sebahagian pelabur turut bersedia dengan kenaikan 1.00 peratus penuh berikutan indeks harga pengguna minggu lalu menunjukkan inflasi kekal tinggi.

Keputusan itu akan diiringi dengan set unjuran baharu mengenai inflasi, pertumbuhan ekonomi dan laluan kadar faedah di masa hadapan.

Laporan itu akan dikaji dengan teliti untuk dijadikan panduan terhadap sasaran tertinggi kadar faedah yang perlu dicapai oleh Fed dalam menangai inflasi.

“Dengan perkembangan ekonomi dan inflasi AS baru-baru ini, kami kini menjangkakan FOMC akan meningkatkan kadar faedah lebih besar dan mencapai kemuncaknya lebih awal,” kata penganalisis di ABN Amro, dalam satu nota.

“Kami menjangkakan kadar faedah Fed akan memuncak pada 4% di bulan Disember dan bukannya Februari,” tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *