Seperti tiada apa yang mampu untuk mengekang kekuatan Dollar, itulah apa yang dapat dilihat pada ketika ini pasca pilihanraya presiden Amerika Syarika
Seperti tiada apa yang mampu untuk mengekang kekuatan Dollar, itulah apa yang dapat dilihat pada ketika ini pasca pilihanraya presiden Amerika Syarikat tempoh hari. Dollar Yen terus menuju ke utara, dan semenjak Trump diumumkan sebagai Presiden yang akan menggantikan Obama, sehingga kini harga sudahpun melonjak sebanyak 1000 pips!
Minggu lepas, BOJ telah mengumumkan operasi pertama mereka untuk membeli Bon Kerajaan Jepun tanpa had mengejutkan para pelabur bon. Langkah ini dilihat sebagai antara salah satu tindakan BOJ bagi mengimbangi ‘yielding curve’ bon kerajaan yang ketika ini dilihat naik terlalu mendadak.
Kita takkan mendalami tentang ‘yielding curve’ dalam artikel ini, namun secara umumnya, jika ‘yielding curve’ menaik maka pastinya berlaku pengurangan pada jumlah pembelian bon, mungkin antara sebabnya adalah penjualan secara agresif bon global sejak beberapa minggu yang lalu. Penjualan bon oleh pelabur, sedikit sebanyak mempengaruhi kekuatan matawang Yen dan seperti mana yang kita tahu, Jepun tidak suka jika Yen kuat!
Sentimen kadar faedah FED pula semakin ketara, dengan rata-rata menyatakan kemungkinan kepada kenaikan kadar faedah akan dilakukan pada bulan Disember nanti. Keyakinan pada Dollar semakin menguat akhir-akhir ini, didorong oleh jangkaan polisi pentadbiran Trump yang bakal memberikan kelebihan kepada institusi kewangan dengan sedikit kelonggaran diberikan kepada mereka. Potongan cukai mampu memacu kadar perbelanjaan pengguna serta meningkatnya kadar pinjaman atau fasiliti kredit dengan institusi kewangan.
Kadar inflasi pula dijangkakan akan menaik, antara salah satu indikasi terpenting yang bakal dilihat oleh FED untuk kenaikan kadar faedah nanti. Data berkala penting dari Amerika seperti sentimen pengguna, pengangguran dan NFP antara tumpuan menjelang pengumuman kadar faedah Disember depan. Data berkala Jepun pagi tadi tidak langsung membantu kekuatan Yen, apabila peratusan import dan eksport Jepun terus merudum.
Secara kasarnya, BOJ telahpun bersedia awal untuk kejatuhan Yen walaupun masih lagi menanti tindak balas yang ketara pasaran ekoran kemenangan Trump dan kemungkinan akan melakukan stimulus kewangan jika perlu. Namun, tindakan untuk membeli Bon Kerajaan Jepun secara tanpa had ini jelas menunjukkan BOJ tidak bersedia untuk berkompromi dengan kenaikan ‘yielding curve’.
COMMENTS