Negara muflis Sri Lanka hari ini mengumumkan pemotongan perbelanjaan kerajaan yang mendadak dan memberi amaran bahawa ia mempunyai hasil yang hampir tidak mencukupi untuk membayar gaji awam dan pencen walaupun dengan kenaikan cukai yang besar.
Negara kepulauan Asia Selatan itu telah gagal membayar hutang awam AS$46 bilion dan sedang berunding penyelamatan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini membawa kesengsaraan yang begitu meluas.
Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe mengarahkan pengurangan lima peratus dalam perbelanjaan negara minggu ini.
Beliau juga memberi amaran bahawa pembayaran kebajikan untuk 1.8 juta keluarga di bawah paras kemiskinan berpotensi ditangguhkan bulan ini.
“Presiden memaklumkan kepada kabinet semalam bahawa krisis ekonomi tahun ini akan menjadi lebih buruk daripada apa yang kita jangkakan,” kata jurucakap kerajaan Bandula Gunawardana kepada pemberita.
Gunawardana berkata kerajaan menjangkakan ekonomi akan terus menguncup tahun ini selepas dianggarkan menyusut 8.7 peratus pada 2022.
“Kita tidak akan mendapat unjuran hasil cukai kerana tahun ini juga ekonomi akan menyusut,” katanya.
Sri Lanka perlu mencapai kemampanan hutang sebagai prasyarat untuk mendapatkan pinjaman IMF AS$2.9 bilion.
IMF juga telah meminta kerajaan Sri Lanka untuk mengurangkan perkhidmatan awamnya yang berjumlah 1.5 juta orang, menaikkan cukai secara mendadak dan menjual perusahaan negara yang merugikan.
Pemiutang utama seperti China dan India masih belum bersetuju untuk “mengecilkan” pinjaman mereka kepada negara Asia Selatan itu, sekali gus menghalang usaha Sri Lanka untuk menyusun semula hutangnya.