Bitcoin kembali stabil di atas AS$50,000 pada hari Khamis, selepas menjunam hampir 17 peratus susulan ciapan twitter Elon Musk bahawa syarikat Tesla
Bitcoin kembali stabil di atas AS$50,000 pada hari Khamis, selepas menjunam hampir 17 peratus susulan ciapan twitter Elon Musk bahawa syarikat Tesla Inc tidak lagi menerima pembelian kereta elektrik menggunakan Bitcoin.
Harga matawang kripto terbesar dunia itu jatuh daripada AS$54,819 ke paras terendah 1 Mac sekitar $AS45,700 hanya dalam tempoh dua jam selepas pengumuman Musk tersebut.
Ether, matawang kripto kedua terbesar juga mengikuti corak pergerakan yang sama, jatuh 14 peratus kepada AS$3,550 sebelum stabil menghampiri AS$4,000 per ETH.
Musk menyebutkan bahawa keputusan untuk menangguhkan penggunaan Bitcoin sebagai kaedah pembayaran adalah kerana kebimbangannya terhadap penggunaan bahan bakar fosil bagi melombong Bitcoin.
“Kami bimbang dengan peningkatan penggunaan bahan bakar fosil yang pantas bagi aktiviti perlombongan dan transaksi Bitcoin, terutamanya arang batu, yang mempunyai pelepasan terburuk dari segala jenis bahan bakar,” tulis Musk.
Komen Musk tetap menggusarkan pasaran walaupun beliau berkata Tesla tidak akan menjual Bitcoin yang dimiliki dan akan kembali menerimanya sebaik sahaja perlombongan matawang kripto ini beralih ke tenaga yang lebih mampan.
“Isu (penggunaan tenaga yang besar oleh pelombong bitcoin) telah lama diketahui jadi ini bukan perkara baru. Tetapi bersama-sama dengan komen Musk mengenai dogecoin baru-baru ini, memberi isyarat minatnya terhadap matawang kripto mungkin semakin berkurang, ”kata Makoto Sakuma, penyelidik di NLI Research Institute di Tokyo.
COMMENTS