European-parliament3

EU Akan Haramkan Produk Buruh Paksa, Berisiko Bangkitkan Kemarahan China

Kesatuan Eropah hari ini berkata ia akan mengharamkan produk yang dibuat daripada buruh paksa.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan meningkatnya kritikan terhadap China mengenai dakwaan negara tembok besar itu menjadikan warga Uyghur di wilayah Xinjiang sebagai buruh paksa.

Xinjiang merupakan salah satu pengeluar kapas terbesar di dunia dan pembekal utama bahan untuk panel solar.

Rancangan EU bagaiamanapun tidak menyebut secara khusus negara China, sebaliknya memfokuskan kepada semua produk yang dibuat daripada buruh paksa, termasuk yang dibuat dalam blok negara itu.

“Cadangan ini akan memberikan perbezaan yang jelas dalam menangani perhambaan zaman moden, yang telah menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia,” kata pesuruhjaya perdagangan EU, Valdis Dombrovskis.

“Matlamat kami adalah untuk menghapuskan semua produk yang dibuat dengan buruh paksa dari pasaran EU, tidak kira di mana ia dibangunkan,” tambahnya.

Cadangan tersebut memerlukan pengesahan oleh negara anggota EU dan Parlimen Eropah sebelum berkuat kuasa dua tahun kemudian.

Idea ini berbeza daripada larangan eksplisit oleh Amerika Syarikat terhadap import dari Xinjiang yang menganggap produk dari rantau itu melibatkan buruh paksa.

Produk-produk yang didakwa oleh kastam AS itu akan ditahan di sempadan sehingga syarikat yang terlibat dapat membuktikan sebaliknya.

Namun, cadangan EU itu berisiko menimbulkan reaksi negatif daripada Beijing berikutan dakwaan pencabulan hak terhadap Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah barat China.

Rancangan EU itu akan membenarkan pihak berkuasa kastam negara melancarkan siasatan ke atas produk “yang mana terdapat syak wasangka yang berasas bahawa ia telah dibuat dengan kerja paksa”, kata satu kenyataan.

Ketua diplomasi Kesatuan Eropah, Josep Borrell awal bulan ini mengalu-alukan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai tindakan keras China terhadap orang Uyghur di wilayah Xinjiang.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *