gbp-eur-usd-2

EUR/USD Kekal Di Bawah 1.00 Walaupun Ahli Lembaga ECB Ekori Hawkish Fed Powell

EUR/USD memulakan dagangan minggu ini dengan nada negatif selepas mencatat penurunan dua minggu berturut-turut, kini berada pada paras terendah tahunan yang baharu.

Setakat jam 11.10 pagi, pasangan mata wang ini didagang sekitar 0.9928, susut 0.33 peratus.

Para pelabur dilihat sukar untuk mengimbangi komen hawkish yang dikeluarkan oleh para penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB) dengan kenyataan hawkish pengerusi Fed Jerome Powell menjelang data NFP minggu ini.

Simposium Jackson Hole pada minggu lalu menunjukkan kepentingan yang tinggi untuk bank pusat terus komited dalam meredakan tekanan inflasi.

“Memulihkan kestabilan harga akan mengambil sedikit masa, memerlukan bank pusat menggunakan alat ‘secara paksa’,” kata Jerome Powell semasa ucapan Jackson Hole yang dinanti-nantikan pada Jumaat lalu.

Beliau juga menyebutkan bahawa memulihkan kestabilan harga mungkin memerlukan pendirian dasar yang ketat dikekalkan untuk ‘satu tempoh masa’.

Manakala, ahli lembaga ECB Isabel Schnabel, ketua Bank Pusat Perancis Francois Villeroy de Galhau dan Gabenor bank pusat Latvia Martins Kazaks semuanya berhujah untuk tindakan dasar yang agresif dan signifikan.

Bagaimanapun, keraguan terhadap keupayaan bank pusat global untuk menjinakkan inflasi, serta meningkatnya risiko kemelesetan, juga memberikan tekanan kepada EUR/USD.

Senator AS Elizabeth Warren berkata semalam bahawa beliau sangat bimbang Fed akan membawa ekonomi AS ke dalam kemelesetan.

Kenyataan itu selari dengan kajian yang dibentangkan di Simposium Jackson Hole yang menyatakan bahawa bank pusat akan gagal mengawal inflasi malah boleh mendorong pertumbuhan harga lebih tinggi melainkan kerajaan mula memainkan peranan mereka dengan dasar belanjawan yang lebih berhemat.

“Jika pengetatan monetari tidak disokong oleh jangkaan pelarasan fiskal yang sesuai, kemerosotan ketidakseimbangan fiskal membawa kepada tekanan inflasi yang lebih tinggi,” kata Francesco Bianchi dari Johns Hopkins University dan Leonardo Melosi dari Fed Chicago.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *