fed-note

Fed Fokus Kepada Pertumbuhan Gaji, Cenderung ‘Rate Hike’ Yang Lebih Perlahan

Federal Reserve bersedia untuk memperlahankan kenaikan kadar faedahnya minggu depan berikutan pendekatan agresifnya memerangi inflasi mula memberi kesan kepada ekonomi.

Bagaimanapun, jangkaan peningkatan sebanyak 50 mata atas masih menjadi satu kenaikan yang besar dalam usaha meredakan permintaan supaya harga pengguna dapat diturunkan.

Isi rumah dalam ekonomi terbesar dunia itu telah berdepan dengan tekanan harga yang tinggi dan bertambah buruk dengan lonjakan kos makanan dan tenaga selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Bagi menjadikan pinjaman lebih mahal, Fed telah menaikkan kadar faedah enam kali tahun ini, termasuk empat kenaikan 0.75 mata, menjadikan kadar ketika ini antara 3.75 peratus dan 4.00 peratus.

“Kami melihat pertemuan bulan ini ditetapkan untuk kenaikan (separuh mata),” kata Oren Klachkin dari Oxford Economics.

Keputusan itu akan diumumkan selepas mesyuarat dua hari penetapan dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu ini.

Para pembuat dasar sentiasa mengawasi pertumbuhan gaji, memandangkan kebimbangan bahawa gaji yang lebih tinggi akan menambah tekanan inflasi.

“Kebimbangan utama untuk Fed di sini adalah pertumbuhan gaji,” kata Martin Wurm dari Moody’s Analytics, sambil menambah bahawa Fed tidak mungkin melonggarkan dasar sehingga terdapat perkembangan yang konsisten dalam perkara ini.

“Itu tidak semestinya bermakna ia akan terus mendaki selama-lamanya, tetapi ia bermakna kadar itu hanya akan meningkat sedikit dan… kekal dinaikkan sepanjang tahun depan,” jelas Wurn.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *