fed

Fed Komited Untuk Terus Naikkan Kadar Faedah Sehingga Inflasi Terkawal

Federal Reserve menaikkan kadar faedah utama AS sekali lagi awal pagi tadi dengan berkata lebih banyak kenaikan akan berlaku untuk mereka melawan harga yang melambung tinggi.

Pendirian agresif itu turut diulangi dalam kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell sambil memberi amaran bahawa proses menawan inflasi itu akan melibatkan sedikit kesakitan.

Penggubal dasar Fed (FOMC) telah menaikkan kadar faedah 0.75 peratus tiga kali berturut-turut, satu pendekatan yang menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan.

Peningkatan buat kali kelima tahun ini telah menjadikan kadar faedah utama Fed berada dalam julat 3.0-3.25 peratus.

FOMC juga berkata bahawa mereka “menjangkakan kenaikan yang berterusan adalah tindakan yang sesuai” untuk mengurangkan inflasi yang telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.

Harga yang melambung tinggi telah memberi tekanan kepada keluarga dan perniagaan di AS.

Ia juga menjadi liabiliti politik untuk Presiden Joe Biden untuk menghadapi pilihan raya kongres pertengahan penggal pada awal November.

Malah penguncupan ekonomi terbesar dunia itu akan menjadi tamparan yang lebih merosakkan kepada Biden dan kepada dunia secara keseluruhannya.

Powell telah menjelaskan bahawa bank pusat akan terus bertindak agresif untuk menyejukkan ekonomi dan mengelakkan berulangnya peristiwa tahun 1970-an dan awal 1980-an, kali terakhir inflasi AS tidak terkawal.

Beliau juga berkata Fed komited untuk menaikkan kadar faedah dan mengekalkannya sehingga inflasi turun, dan beliau memberi amaran supaya tidak menukar haluan terlalu awal.

“Rekod sejarah memberi amaran keras terhadap dasar longgar yang terlalu awal,” kata Powell kepada pemberita.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *