FTX, pertukaran kripto yang muflis telah mendapatkan semula lebih AS$7.3 bilion dalam bentuk tunai dan aset kripto cair, peningkatan lebih daripada AS$800 juta sejak Januari.
Peguam FTX Andy Dietderich pada perbicaraan mahkamah kebankrapan berkata syarikat itu mula memikirkan tentang masa depannya selepas berusaha untuk mengumpul sumber sejak beberapa bulan lalu.
“Keadaan telah stabil, dan salah urus yang teruk telah selesai,” kata Dietderich.
FTX telah mendapat manfaat daripada kenaikan harga kripto baru-baru ini, dengan jumlah pemulihan akan bernilai AS$6.2 bilion berdasarkan harga kripto mulai November 2022, jelasnya.
November tahun lalu merupakan tarikh di mana FTX memfailkan kebankrapan selepas pelabur mengeluarkan AS$6 bilion daripada platform dalam tempoh tiga hari sementara Binance menarik diri daripada menyelamatkannya.
Ketua Pegawai Eksekutif FTX yang baharu, John Ray telah memperincikan pemindahan dana yang tidak betul dan perakaunan yang lemah di bursa kripto.
FTX kini dilaporkan sedang berunding dengan pihak berkepentingan tentang pilihan untuk memulakan semula pertukaran kriptonya, dan ia mungkin membuat keputusan mengenainya pada suku semasa.
Setakat ini, pelanggan FTX di Jepun adalah satu-satunya yang dapat mengeluarkan sebarang dana, kerana peraturan kripto negara itu yang agak kukuh, ujar Dietderich.
Tidak jelas sama ada FTX harus menggunakan dananya sendiri untuk memulakan semula pertukaran, dan bukannya menggunakan wang itu untuk membayar balik pelanggan.
Memulakan semula bursa mungkin memerlukan pembiayaan luar atau penjualan aset bursa, tambahnya.
FTX juga sedang mengusahakan pelan awal ‘Chapter 11’ yang akan menawarkan syarikat jalan keluar daripada muflis, kata Dietderich.