g7 italia

G7 Janji Untuk Bertindak Ke Atas Amalan Perniagaan ‘Tidak Adil’ China

Pemimpin negara G7 berikrar pada hari Jumaat untuk menangani apa yang didakwa sebagai “amalan perniagaan tidak adil oleh China yang menjejaskan pekerja dan industri mereka.

G7 juga memberi amaran tentang tindakan terhadap institusi kewangan China yang membantu Rusia mendapatkan persenjataan untuk perangnya terhadap Ukraine.

Ketua negara Itali, AS, UK, Kanada, Perancis, Jerman dan Jepun pada hari ini membincangkan kebimbangan mengenai lebihan kapasiti perindustrian China, yang dikatakan kerajaan Barat telah menganggu pasaran tempatan.

Pope Francis kemudiannya akan membuat penampilan bersejarah di sidang kemuncak di selatan Itali, untuk membincangkan mengenai kecerdasan buatan.

Draf kenyataan untuk sidang kemuncak di Itali itu,menegaskan bahawa G7 tidak cuba menekan atau menggagalkan pembangunan ekonomi China, tetapi akan “terus mengambil tindakan untuk melindungi perniagaan kami daripada amalan tidak adil, untuk menyamakan kedudukan dan memulihkan kemudaratan yang berterusan”.

AS minggu ini mengenakan sekatan baharu ke atas firma berpangkalan di China yang membekalkan semikonduktor kepada Rusia, di tengah-tengah kebimbangan terhadap sikap Beijing yang semakin agresif terhadap Taiwan dan berselisih dengan Filipina berhubung tuntutan maritim.

“China tidak membekalkan senjata (ke Rusia) tetapi keupayaan untuk menghasilkan senjata itu dan teknologi yang tersedia untuk melakukannya, jadi ia sebenarnya membantu Rusia,” kata Presiden AS Joe Biden kepada pemberita.

Pada hari pertama pertemuan mereka di selatan Itali, negara-negara G7 bersetuju dengan perjanjian untuk menyediakan pinjaman sebanyak AS$50 bilion untuk Ukraine yang akan diperoleh menerusi aset-aset Rusia yang dibekukan.

Dalam draf itu, pemimpin G7 juga menjanjikan sekatan terhadap entiti yang membantu Rusia memintas sekatan ke atas minyak mereka melalui penghantaran pintu belakang.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *