Gazprom: Rusia Akan Menyambung Semula Penghantaran Gas Ke Itali

Gazprom: Rusia Akan Menyambung Semula Penghantaran Gas Ke Itali

Rusia akan menyambung semula penghantaran gas ke Itali selepas terpaksa menghentikan sementara berikutan masalah pengangkutan di Austria, kata gergas

Rusia akan menyambung semula penghantaran gas ke Itali selepas terpaksa menghentikan sementara berikutan masalah pengangkutan di Austria, kata gergasi tenaga Rusia Gazprom dalam satu kenyataan hari ini.

“Penyaluran gas Rusia melalui wilayah Austria telah disambung semula,” umum Gazprom, sambil menambah bahawa “penyelesaian” ditemui dengan pembeli dari Itali berikutan perubahan peraturan di Austria.

Kebanyakan gas Rusia yang dihantar ke Itali akan melalui Ukraine menerusi Trans Austria Gas Pipeline (TAG) sehingga ke Tarvisio di utara Itali, yang terletak di sempadan Austria.

Syarikat tenaga Itali Eni berkata hari ini bahawa “bekalan gas dari Gazprom disambung semula hari ini”.

Eni juga menyambut baik resolusi bersama pihak-pihak yang berkaitan mengenai kekangan akibat daripada peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Austria.

Gazprom telah mula menggantung penghantaran gas ke Itali pada hari Sabtu susulan perubahan syarat yang berlaku di Austria pada September.

Di Austria, pihak berkuasa kawal selia E-Control berkata peraturan baharu itu, yang berkuat kuasa pada hari Sabtu itu, telah “diperkenalkan kepada semua pemain pasaran sejak berbulan-bulan yang lalu”.

Mereka menjangkakan bahawa “semua pihak telah maklum dan mengambil langkah yang perlu untuk memenuhi kewajipan mereka”.

Masalah itu dikaitkan dengan “butiran kontrak” yang dikaitkan dengan transit gas ke Itali, kata E-Control di Twitter.

Pada Isnin, Eni berkata ia bersedia membayar jaminan €20 juta untuk memulakan semula penghantaran gas Rusia melalui Austria.

Sebelum konflik di Ukraine, Itali mengimport 95 peratus daripada gas yang digunakan, yang mana sekitar 45 peratus daripadanya adalah dari Rusia.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: