gas-austria

Gazprom Rusia Kurangkan Lagi Penghantaran Gas Ke Perancis

Syarikat tenaga Perancis Engie pada hari ini berkata bahawa gergasi tenaga Rusia Gazprom telah mengurangkan penghantaran gas aslinya “disebabkan perselisihan antara kedua-dua pihak mengenai pelaksanaan kontrak”.

Engie menambah dalam satu kenyataan bahawa bekalan gas Rusia telah pun berkurangan secara drastik selepas Rusia menyerang Ukraine pada Februari.

“Bagaimanapun, Engie telah memperoleh jumlah yang diperlukan untuk menjamin bekalan untuk pelanggannya dan untuk keperluannya sendiri,” katanya.

Gas Rusia menyumbang 4.0 peratus daripada keseluruhan bekalan tenaganya pada akhir Julai, kata kumpulan itu.

Amaran daripada kerajaan Peranci mengenai risiko cabaran pada musim sejuk semakin meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini disebabkan oleh kekurangan tenaga dan inflasi yang melambung tinggi.

Kebanyakan negara Eropah menghadapi masalah bekalan yang teruk apabila Rusia menutup saluran paip gas sebagai tindak balas kepada sokongan tentera dan diplomatik EU ke atas Ukraine.

Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengumpulkan jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet khas pada hari Jumaat ini bagi “mempersiapkan segala kemungkinan musim luruh dan musim sejuk ini,” umum pejabat presiden hari ini.

Perdana Menteri Elisabeth Borne menggesa ketua-ketua syarikat mengurangkan penggunaan tenaga mereka dan memberi amaran tentang risiko catuan.

“Sekiranya kita berakhir dengan catuan, syarikat akan paling terjejas dan malangnya kita perlu bersedia untuk itu,” katanya kepada persatuan perniagaan Medef.

Dalam pertemuan yang sama, Claire Waysand, timbalan ketua eksekutif Engie, memberitahu bahawa cuaca akan memainkan peranan penting pada musim sejuk ini.

“Untuk memastikan kami melalui musim sejuk dengan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, kami berharap cuaca ketika itu tidak terlalu sejuk,” katanya.

Perancis telah dengan pantas mengisi kemudahan penyimpanan gasnya, yang kini 90 peratus penuh, dan telah merundingkan bekalan tambahan dari Norway.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *