music ai suno sony

Gergasi Rakaman Muzik Saman Syarikat AI Suno, Udio Atas Pelanggaran Hak Cipta

Syarikat rakaman utama Sony Music, Universal Music Group dan Warner Records menyaman syarikat kecerdasan buatan (AI) Suno dan Udio atas dakwaan pelanggaran hak cipta besar-besaran dengan menggunakan rakaman label untuk melatih sistem AI penjanaan muzik.

Dalam writ saman yang difailkan, syarikat AI itu didakwa menyalin muzik tanpa kebenaran untuk mengajar sistem mereka mencipta muzik yang “secara langsung akan bersaing dengan, murah, dan akhirnya menenggelamkan” karya artis-artis manusia.

Mereka didakwa telah dapat mencipta semula elemen lagu termasuk mampu menjana vokal yang “tidak dapat dibezakan” daripada artis rakaman syarikat seperti Michael Jackson, Bruce Springsteen dan ABBA.

“Teknologi kami adalah transformatif; ia direka untuk menjana keluaran baharu sepenuhnya, bukan untuk menghafal dan memuntahkan kandungan sedia ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Suno Mikey Shulman dalam satu kenyataan.

Tiga gergasi rakaman itu telah meminta mahkamah memberikan ganti rugi berkanun sehingga AS$150,000 setiap hak cipta lagu yang didakwa disalin oleh defendan. Mereka mendakwa Suno telah menyalin 662 buah lagu dan Udio menyalin 1,670 buah lagu.

Tuntutan undang-undang ini adalah yang pertama menyasarkan AI penjanaan muzik susulan beberapa kes yang dibawa oleh pengarang, saluran berita dan lain-lain berhubung dakwaan penyalahgunaan kerja mereka untuk melatih model AI berasaskan teks yang menjanakan chatbots seperti ChatGPT OpenAI.

Sony pada Mei lalu telah memberi amran kepada 700 buat syarikat lain supaya tidak menggunakan muzik artis mereka bagi melatih model AI.

Saman ke atas syarikat AI Suno dan Udio ini dilakukan hanya beberapa hari selepas Sony Music membayar AS$1.27 billion kepada ahli kumpulan Queen untuk membeli hak katalog dan penerbitan lagu kumpulan tersebut.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *