Sterling berada di paras terendah intraday berikutan Perdana Menteri UK Boris Johnson dijangka mengesahkan rancangan untuk menghapuskan hampir kesemu
Sterling berada di paras terendah intraday berikutan Perdana Menteri UK Boris Johnson dijangka mengesahkan rancangan untuk menghapuskan hampir kesemua baki sekatan Covid-19 di England bermula 19 Julai, walaupun terdapat peningkatan kes ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak beberapa bulan lalu.
Sehingga jam 7.30 malam, sterling jatuh hampir 50 pips berbanding dolar AS, didagang sekitar 1.3850
Johnson akan mengumumkan keputusan akhir bagi meredakan sekatan-sekatan akibat Covid-19 dalam sidang media Isnin hadapan. Beliau dijangka akan menghapuskan peraturan memakai topeng, penjarakan sosial dan arahan untuk bekerja dari rumah.
Penganalisis dari Commerzbank walau bagaimanapun mengingatkan bahawa tindakan Johnson untuk tidak mengenakan lockdown pada tahun lalu ternyata tidak berkekalan.
“Semakin lambat lockdown dikenakan, semakin ketat dan berkemungkinan lebih lama,” kata Ulrich Leuchtmann, ketua penyelidikan FX di Commerzbank.
“Jika perkara itu berlaku keyakinan pasaran bahawa Bank Pusat England akan mula menaikkan kadar faedahnya buat kali pertama mungkin akan terjejas”, tambah beliau.
Kerajaan UK berpendapat bahawa walaupun kes meningkat, kematian dan kemasukan ke hospital tetap terkawal.
Sterling telah menjadi antara mata wang G10 yang mempunyai prestasi terbaik tahun ini susulan pelancaran vaksinasi yang pantas sehingga mendorong harapan untuk pemulihan ekonomi lebih cepat.
Dilaporkan lebih daripada 87 peratus orang dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 di Britain dan 66 peratus telah menerima dos kedua.
Namun begitu, keyakinan pelabur ditekan oleh lonjakan kes varian Covid-19 Delta, yang dilihat memandu data-data ekonomi lebih lemah daripada jangkaan.
Data KDNK UK pada minggu lalu menunjukkan lonjakan ekonomi pasca lockdown pada Mei perlahan secara mendadak, sementara hanya naik 0.8% pada April, lebih rendah berbanding jangkaan median sekitar 1.5%.
COMMENTS