hyundai-academy

Hyundai Motor Pindah HQ Asia Pasifik Di Malaysia Ke Indonesia

Hyundai Motor Corporation telah menutup ibu pejabat serantaunya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 31 Disember lalu dan memindahkannya ke Indonesia.

Menurut media tempatan, penutupan operasi itu dibuat susulan insentif yang lebih menarik ditawarkan oleh Indonesia bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV).

Hyundai Motors Indonesia (HMID) dalam satu kenyataan, mengesahkan pemindahan tersebut dan berkata ianya telah mula dilaksanakan sejak tahun 2019.

Memetik laporan CNN Indonesia, Pengurus Besar Pemasaran HMID, Astrid A. Wijana berkata ibu pejabat Hyundai Asia Pasifik memang telah dibangunkan di Indonesia pada awal 2019 sesuai dengan penyusunan semula perniagaan Hyundai di luar negeri mulai 2018.

“Namun, proses tersebut memerlukan waktu dan persiapan yang matang agar dapat diurus dengan baik untuk peralihan yang lancar,” jelas beliau.

Hyundai Motor pada November yang lalu telah memeterai perjanjian awal untuk membina kilang pengeluaran baharu di Indonesia dengan pelaburan berjumlah AS$1.55 bilion (RM6.24 bilion) membabitkan perancangan sehingga 2030.

Ketika ini kerja-kerja pembinaan kilang yang terletak di Kompleks Perindustrian Deltamas Jakarta sudah mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, pemindahan tersebut dilaporkan tidak menjejaskan operasi Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) sebagai pengedar dan pengimport ekslusif kenderaan import dan pemasangan tempatan bagi jenama Hyundai di Malaysia.

Selain Hyundai, Toyota Motor Corporation juga merancang untuk melabur AS$2 bilion (RM8.05 bilion) di Indonesia bagi membangunkan EV bermula tahun lalu hingga 2023 dengan sebagai permulaan membabitkan pengeluaran kenderaan hibrid.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *