ev-cars-charging

IEA: Jualan Kereta Elektrik Melonjak Namun Ketersediaan Bahan Mentah Membimbangkan

Penjualan kereta elektrik telah meningkat tahun lalu, namun ketersediaan bahan mentah kritikal seperti litium berisiko memperlahankan pertumbuhan sektor itu, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam satu laporan tahunan.

Menurut laporan tersebut, jualan kenderaan elektrik meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada 6.6 juta unit, menyumbang satu daripada 10 kereta baharu yang dijual dengan China menyumbang kepada separuh daripada jualan tersebut.

Jualan kenderaan elektrik terus melonjak, meningkat sebanyak 75 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Subsidi awam untuk mengurangkan kos kepada pengguna telah menjadi faktor utama dalam penggunaan kenderaan elektrik ini, dan ia telah meningkat dua kali ganda pada tahun lalu kepada hampir €30 bilion, jelas IEA.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa pengilang telah meningkatan tawaran mereka dengan kira-kira 450 model kini telah dijual, peningkatan lima kali ganda sejak 2015.

Bagaimanapun, kekangan bekalan dan kenaikan harga berisiko menjejaskan pertumbuhan sektor itu.

“Pembuat dasar, eksekutif industri dan pelabur perlu sangat berhati-hati dan bijak untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan dan memastikan bekalan mineral kritikal yang mampan,” kata ketua pengarah IEA Fatih Birol dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan itu.

China ketika ini mengeluarkan tiga perempat daripada bateri litium-ion dunia, produk utama yang digunakan dalam kereta elektrik dan peranti elektronik kecil.

Negara tembok besar itu juga mempunyai separuh daripada kapasiti penapisan global untuk litium dan elemen utama lain seperti kobalt dan grafit.

IEA menganggarkan lonjakan enam kali ganda dalam pengeluaran diperlukan menjelang 2030, dengan pembukaan 50 lombong baharu.

Walaupun Eropah dan AS sedang berlumba meningkatkan pengeluaran bateri tersebut, IEA berkata bahawa China berkemungkinan akan terus memegang majoriti rantaian bekalan sehingga 2030.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *