imf-view

IMF Akan Pertimbangkan Dana Kecemasan Tambahan AS$1.3b Kepada Ukraine

Lembaga eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan mempertimbangkan permohonan Ukraine untuk mendapatkan AS$1.3 bilion pembiayaan kecemasan tambahan pada Khamis berikutan perang Rusia terhadap negara itu masih berterusan.

Memetik dua sumber yang terlibat, Reuters melaporkan bahawa IMF telah menyediakan dokumen yang diperlukan untuk melayakkan Ukraine mendapat dana kecemasan selanjutnya.

IMF juga meyakini bahawa Ukraine telah menerima jaminan kewangan yang mencukupi daripada sekutunya bagi memenuhi keperluan kemampanan hutang.

Jika permohonan diluluskan, dana itu akan dikeluarkan menerusi program pinjaman kecemasan baharu untuk menangani kekurangan makanan yang diluluskan oleh ahli lembaga minggu lepas.

Sumber tersebut juga berkata para pegawai IMF dijadualkan bertemu dengan pihak berkuasa Ukraine di Vienna pada minggu 17 Oktober ini bagi membincangkan mengenai rancangan bajet dan dasar kewangan Ukraine.

Perbincangan tersebut akan mengikuti mesyuarat peringkat lebih tinggi yang akan berlangsung ketika mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF minggu hadapan.

Pihak IMF telah memuji kerajaan Ukraine dan bank pusatnya di atas pengurusan mereka terhadap kejutan ekonomi yang tercetus akibat pencerobohan Rusia ke atas negara itu pada Februari lalu.

IMF telah menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak AS$1.4 bilion kepada Ukraine pada bulan Mac, sejurus selepas perang bermula.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *